Sunday, July 7, 2019

Tsunami UMNO-PAS akan telan Bersatu, Pakatan Harapan

fazleen safina 

 

Politik Melayu berpecah bila Dr M tubuh Bersatu, jalin kerjasama DAP

BANGI– UMNO dan PAS akan membentuk kekuatan politik Melayu yang bukan sahaja menjadi tsunami menelan Bersatu, tetapi juga Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO mesti meneruskan islahnya dan mengukuhkan kerjasama dengan PAS, yang bukan untuk kepentingan politik semata-mata.

“Biarlah UMNO meneruskan rencananya dengan PAS dan menjayakannya. Kita akan buktikan bahawa strategi politik tersebut adalah lebih ampuh dan lestari.

“Ia adalah wadah kesatuan ummah demi kelangsungan dan kebolehsaingan bangsa Melayu dan kemakmuran Malaysia yang majmuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya parti Melayu menyertai Bersatu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, perpecahan dan kesusutan pengaruh politik bangsa Melayu bermula apabila parti berkenaan ditubuhkan.

Katanya, perpecahan kaum Melayu menjadi lebih teruk apabila Bersatu menjalinkan kerjasama politik dengan DAP demi menewaskan UMNO.

“Setelah PH membentuk kerajaan, orang Melayu menyedari bahawa Bersatu tidak berupaya menjadi jurucakap sebenar bangsa Melayu. Kerana itulah orang Melayu tidak berbondong-bondong menyertai Bersatu,” katanya.

Tindakan Dr Mahathir membuat pelawaan itu juga katanya dilihat kerana beliau sedar Bersatu tiada kekuatan di akar umbi.

Justeru tegas Mohamad, UMNO tidak akan menyertai Bersatu untuk selamanya, tambahan pula UMNO adalah parti politik terbesar bangsa Melayu.

Katanya, UMNO telah bernaung selama tujuh dekad memperjuangkan dan menyuarakan nasib bangsa Melayu, apatah lagi jelasnya bila Bersatu itu lahir dari rahim UMNO.

“Kepada Dr Mahathir, seruan ke arah perpaduan Melayu adalah baik. Tetapi UMNO telah lebih awal melakukannya dengan bekerjasama dengan PAS,” katanya.


No comments: