Sunday, July 7, 2019

KJ: Najib boleh kata apa saja tapi saya juga ada pandangan


   

Anggota Umno yang tidak gembira dengan kepulangan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai pilihan selain akur keputusan parti dan menunggu pemilihan seterusnya dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengulas gesaan bekas Presiden Umno Najib Razak agar anggota Umno tidak mencetuskan "huru-hara" dalam parti itu dan menerima Ahmad Zahid kembali sebagai presiden.

Khairy berkata beliau dan Najib berhak untuk berbeza pandangan.

"Beliau (Najib) boleh mengatakan apa yang dia mahu. Beliau mempunyai pandangan. Saya mempunyai pandangan saya.

"Najib kata kita semua patut menerima Zahid dan saya masih mengekalkan (pendirian) bahawa Majlis Tertinggi sepatutnya berbincang terlebih dahulu," kata ketua Umno Bahagian Rembau itu pada sidang media selepas satu forum di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun katanya keputusan parti perlu dipatuhi.

"Saya mempunyai pandangan yang berbeza tetapi sebagai anggota parti saya perlu mematuhi keputusan parti," kata Khairy.

Najib ketika merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Setiawangsa pagi ini menyeru anggota parti supaya tidak mencetuskan "huru-hara" dan menerima kepulangan Zahid sebagai presiden.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata mana-mana ahli yang tidak gembira  perlu menunggu anggota parlimen Bagan Datuk itu menghabiskan mandatnya sebagai presiden dalam tempoh tiga tahun.
Mengulas lanjut, Khairy berkata suara-suara dalam Umno yang mengkritik kedudukan Zahid sebagai presiden telah membuat pendirian yang jelas.

"Pemuda Umno telah membuat pendirian yang jelas, saya telah membuat pendirian yang jelas.

"Tetapi jika orang itu mahu kembali dan jika Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk memberi sokongan, tiada apa yang boleh kita lakukan," katanya.

Zahid mengambil keputusan untuk bercuti pada Disember tahun lepas berikutan tekanan untuk beliau berundur sebagai presiden.

Penentangnya dalam Umno ketika itu mengkritik beliau kerana didakwa tiada hala tuju yang jelas untuk mengemudi parti itu.

Zahid juga dikatakan faktor beberapa anggota parlimen Umno melompat parti dan sebahagian yang lain mengancam akan mengikut jejak langkah sama.

Zahid akhirnya mengalah dan pada 18 Disember tahun lalu beliau mengumumkan timbalannya Mohamad Hasan memangku jawatannya sebagai presiden.

Hanya beberapa jam sebelum Zahid mengumumkan kepulangannya pada 30 Jun, Khairy - sekutu rapat Mohamad - berkata Zahid perlu terlebih dahulu mendapatkan pandangan Majlis Tertinggi Umno sebelum mengumumkan kepulangannya.


No comments: