Thursday, July 4, 2019

Anthony Loke, Pua saman Tajuddin


   
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Anggota Parlimen Damansara Tony Pua memfailkan saman terhadap Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman kerana mendakwa DAP cuba menghapuskan sistem raja-raja di Malaysia.

Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh Malaysiakini, surat saman mereka difailkan oleh firma guaman Tetuan Ezzah & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.

Loke yang juga setiausaha penganjur kebangsaan DAP dan Pua yang merupakan setiausaha publisiti kebangsaan DAP, menyaman ahli majlis tertinggi Umno itu berhubung ucapannya di Kampung Jawa pada malam sebelum pilihan raya kecil parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos tahun lepas.

Calon Pakatan Harapan, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,842 undi, menewaskan calon BN, Lokman Noor Adam dalam pilihan raya kecil itu yang diadakan pada 4 Ogos 2018.

Loke dan Pua berkata Tajuddin dalam ucapannya mendakwa mereka  merupakan penganut Kristian yang bersama rakan mereka dalam DAP berusaha untuk bukan sahaja menyebarkan agama itu tetapi juga menghapuskan raja-raja Melayu.

Tajuddin juga didakwa mengatakan mereka berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.

Selain itu Tajuddin dalam ucapannya juga didakwa mengatakan mereka mahu mendirikan sebuah negara republik.

Kenyataan defendan disiarkan oleh Malaysiakini bertajuk ‘Christian DAP’ salvo to close BN’s Sg Kandis campaign’ yang dimuat naik oleh portal berita itu pada malam yang sama dia berucap.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, Loke dan Pua menafikan mereka adalah orang Kristian dan mengatakan kenyataan Tajuddin menggambarkan mereka tidak menjalankan tugas mereka sebagai menteri dan ahli parlimen dan sebaliknya menggunakan kedudukan mereka untuk memperjuangkan agenda politik peribadi.

No comments: