ISMA WEB
Wanita Nigeria, lelaki Pakistan ditangkap bantu siasatan kes
SHAH ALAM– Polis mengesahkan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd
Kamaruddin, yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu, ditemui dibunuh di
sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.
Ketua
Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, mayat Siti Kharina
ditemui pemilik rumah sewa berkenaan pada Rabu, selepas melihat kesan
darah mengalir keluar daripada salah satu pintu rumah itu.
Beliau
berkata, pemilik rumah itu datang untuk memeriksa rumahnya, dan polis
bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa di kondominium itu.
“Mangsa
ditemui tidak lengkap berpakaian, dengan kesan kelar di bahagian dada,
leher dan kepala dan siasatan awal kami mendapati ia adalah Siti Kharina
yang telah dilaporkan hilang sebelum ini.
“Kes ini
disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak forensik yang
menjalankan siasatan di tempat kejadian telah menjumpai beberapa
keterangan fizikal berkaitan kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini.
Noor Azam
berkata, berikutan kejadian ini, polis telah menahan seorang wanita
warga Nigeria berumur 35 tahun dan seorang lelaki Pakistan berumur 38
tahun di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi ini.
“Seorang
lagi suspek lelaki diburu bagi membantu siasatan kes ini dikenali
sebagai, Aliwajuwon Gilbertalowonle warga Nigeria yang memasuki Malaysia
awal Januari lalu,” katanya.
Beliau
berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati ketiga-tiga suspek
ini adalah rakan perniagaan telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah
gajet elektronik terkenal di Kuala Lumpur.
Selain
itu, polis menemui pisau dan baju di rumah sewa mangsa, manakala polis
menolak unsur samun kerana dokumen dan barang kemas mangsa tidak hilang.
“Kami tidak menemui sebarang kesan pecah rumah dalam rumah mangsa kerana barang berharga mangsa tidak diambil,” katanya.
Beliau
berkata, polis percaya bahawa Siti Kharina telah dibunuh empat atau lima
hari lepas di rumah sewanya, manakala motif kejadian masih disiasat.
“Ketika ini polis akan mengambil keterangan daripada suspek dan ahli keluarga Siti Kharina bagi melengkapkan siasatan kes ini.
“Kami akan
siasat dari semua aspek sama ada Siti Kharina dirogol, dilarikan atau
lain-lain punca. Selain itu, polis sedang menunggu laporan bedah siasat
mangsa dari Hospital Serdang,” katanya.
Noor Azam berkata, pihaknya juga menyiasat hubungan mangsa dengan ketiga-tiga suspek kes berkenaan.
Beliau
berkata, pihaknya mengesahkan bahawa Siti Kharina mempunyai dua buah
rumah sewa, iaitu sebuah di Cyberjaya dan sebuah lagi di tempat lain.
“Siti
Kharina mempunyai tiga anak perempuan seorang berusia 14 tahun dan
kembar berusia 10 tahun menetap di Kampung Tanjung Ipoh, Negeri
Sembilan,” katanya.
Pada Ahad
lepas, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina yang
dilaporkan hilang sebelum ini, kali terakhir dilihat di kawasan tempat
letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lepas.
Siti Kharina dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan