Garis inisiatif jangka sederhana, panjang bagi tambah baik tugas guru
GEORGE TOWN– Kementerian Pendidikan bercadang untuk memberikan insentif kepada
guru-guru yang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dan
Ijazah Kedoktoran.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata,
kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan
Awam (JPA) berhubung cadangan itu.
“Untuk jangka masa panjang, kita sedang
merangka dan berbincang dengan pihak JPA. Insya-Allah saya juga akan
minta pertolongan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung
cadangan ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Guru
Peringkat Kebangsaan 2019, di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, kementerian telah
menggariskan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang bagi
menambah baik tugas guru di sekolah.
Maszlee berkata, bagi inisiatif jangka
sederhana yang bermula seawal Januari sehingga hujung tahun ini,
kementerian telah menyenaraikan beberapa isu antaranya pelaksanaan audit
Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) telah
dihentikan.
Katanya, pihak sekolah hanya perlu melaksanakan audit kendiri bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing-masing.
“Fasa semakan dan penilaian kendiri
dibuka dua kali setahun iaitu pada bulan Januari hingga Mac (Fasa 1) dan
Ogos hingga November (Fasa 2) berbanding tiga kali sebelum ini. Sistem
‘online’ sentiasa dibuka untuk dikemaskini dan pemantauan,” katanya.
Beliau berkata, bagi isu pengawasan
peperiksaan pada waktu cuti sekolah, bermula tahun ini pengawasan
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilaksanakan secara dua
fasa pada Oktober dan November semasa waktu persekolahan.
Bagi memenuhi keperluan penggantian guru
bercuti, cuti bersalin dan cuti sakit melebihi 28 hari, beliau berkata,
peruntukan sebanyak RM35.2 juta telah disalurkan kepada Jabatan
Pendidikan Negeri bagi membolehkan sekolah menggunakan khidmat guru
ganti.
Sementara itu, Maszlee berkata,
kementerian juga telah mengenal pasti beberapa inisiatif jangka panjang
membabitkan isu yang lebih kompleks dan memerlukan kajian semula dasar
dan peraturan sedia ada, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur
ICT, pengoptimaan perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah.
“Bagi inisiatif jangka panjang pula
selewat-lewatnya akan dilaksanakan hujung tahun ini, beberapa inisiatif
telah dirangka termasuklah mengatasi masalah guru terpaksa keluar atas
beberapa faktor sehingga menyebabkan mereka sukar memberikan penumpuan
dalam bilik darjah.
“Prosedur operasi standard keselamatan
guru juga telah siap disemak dan digubal secara menyeluruh, antara
inisiatif yang akan diberikan adalah Perlindungan Insurans Guru yang
akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin mengetuai bacaan ikrar. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan