Oleh Wartawan Ismaweb
PU lafaz cerai ketika isteri hamil bukti tak ada ilmu agama

BANGI– Pendakwah terkenal, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mendedahkan peserta
Pencetus Ummah, salah satu program realiti televisyen, lebih banyak
bergantung kepada menghafal untuk menang dan menjadi juara, bukannya
mempunyai ilmu yang mendalam.
Pencetus
Ummah adalah sebuah program realitik Islamik yang mencari ustaz muda
berkebolehan untuk diketengahkan sebagai pendakwah dan peserta akan
dikenali sebagai ‘PU’ diikuti nama mereka.
“Pencetus
Ummah atau PU, program realiti Astro ini apa? Mereka yang masuk program
ini adalah sebahagian yang tersangat kecil peserta di luar sana tidak
sedalam mana ilmu mereka.
“Ada yang
menang dan menjadi juara sekadar menghafal sahaja. Ilmu tidak ke mana,
cuma pandai bercakap saja dan berlawak bodoh sekali sekala. Saya
tahulah, sebab saya adalah hos program realiti untuk siri pertama Astro
ini dan banyak lagi program realiti lain.
“Sebenarnya
program ini tidak ada apa? Glamour saja lebih? Publisiti diberikan
seolah-olah peserta-peserta ini hebat sangat. Walhal kerjanya menghafal
dan diselang-seli dengan lawak-lawak basi dan gimik-gimik meloyakan.
Saya sudah lama dalam dunia seni sebegini,” katanya ketika dihubungi
Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu,
tular isu tindakan PU Abu atau Mohammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar
Rozaidi, 25, yang melafaz cerai terhadap isterinya Ain ‘Afini Latif, 23,
melalui aplikasi WhatsApp. Mahkamah Rendah Syariah Klang hari ini,
memutuskan lafaz cerai itu tidak sah.
Pada
perbicaraan hari ini, Ain ‘Afini memberitahu bahawa mereka bercerai
talak satu pada 28 Januari lalu, dengan kebenaran mahkamah selepas
kira-kira empat bulan bernikah.
Kedua-duanya
kemudian merujuk kembali dengan lafaz pada 23 Februari lalu di rumah PU
Abu di Selayang, tetapi PU Abu didapati menghantar lafaz cerai menerusi
WhatsApp pada 13 Mac lalu selepas seminggu meninggalkan Ain ‘Afini,
yang sedang hamil.
Mengulas
lanjut Ustaz Ridhuan Tee berkata, kejadian itu adalah akibat daripada
apabila peserta program realiti terbabit dalam sesuatu perlakuan
kontroversi.
“Terbaharu,
ada PU yang menceraikan isterinya ketika sarat mengandung. Macam nak
kiamat dunia ini dengan berita tersebut. PU ni tak ada apa pun.
“Jika PU ini faham Islam, seperti program Pencetus Ummah itu, sudah tentu dia tidak bertindak sedemikian.
“Sebab tak tau dan tak faham lah yang menyebabkan berlaku sedemikian. Jadi, apa ke jadahnya perbesarkan isu ini,” katanya.
Justeru,
beliau berharap ‘ustaz PU’ dan dai-dai Nusantara supaya menjaga tingkah
laku dan akhlak apabila sudah menjadi terkenal dan mendapat perhatian
ramai.
“Jangan
rosakkan imej Islam dengan tindakan kita yang hodoh itu. Kerana nila
setitik rosak susu sebelanga. Musuh-musuh Islam akan menggunakan berita
untuk memburuk-buruk agama kita.
“Berhati-hatilah. Ambillah kesempatan dengan berjayanya kita masuk TV dan menjadi glamour untuk terus memperdalamkan ilmu di dada.
“Pergilah
sambung mengaji. Tak cukup terhenti setakat itu sahaja. Ummah di luar
sana sangat dahaga penampilan dan ilmu kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan