Ahad, 12 Mei 2019

Akmal sedia dedah identiti pemberi maklumat isu Yapeim

MALAYSIAKINI

   
Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir hari ini berkata dia bersedia mendedahkan identiti pemberi maklumat berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Jelas Akmal, pendedahan itu hanya akan dilakukan sekiranya individu terbabit diberikan pelindungan yang sewajarnya.

"Saya bersedia mendedahkan identiti sebenar pemberi maklumat yang menyalurkan bukti-bukti skandal penyelewengan Yapeim sekaligus menyelamatkan yayasan tersebut, sekiranya mereka ini diberikan perlindungan dan penghormatan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Akmal berkata demikian sebgagai mengulas laporan portal The Malaysian Insight bahawa sebanyak RM1 juta dana Yapeim yang bertujuan untuk membantu anak-anak yatim didakwa telah disalahgunakan.

Dana berkenaan dikatakan digunakan untuk membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada tahun 2017.

Bayaran guaman berkenaan dikatakan bagi membatalkan saman ke atas Yapeim yang difailkan Kemajuan Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Miskin (Pemangkin).

Pemangkin, yang merupakan anak syarikat Yapeim memfailkan saman itu dengan mendakwa bahawa yayasan berkenaan menyalahgunakan dana Pemangkin untuk menaja bekas menteri di jabatan perdana menteri ke Eropah, AS dan Australia.

Tindakan keras
 
Mengulas lanjut, Akmal yang merupakan anggota Parlimen Johor Bharu juga berkata kerajaan harus meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

"Sudah menjadi harapan agar Yapeim dipulihkan kembali kepada tujuan asal dan perlu mempunyai kebertanggungjawaban dan integriti kepada para penyumbang, maka struktur yayasan ini perlu direformasikan sepenuhnya supaya skandal sebegini tidak berulang.

"Saya juga menyeru pihak kerajaan (meminda) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (yang perlu dipinda), majikan, pekerja dan masyarakat umum dapat memberi pengiktirafan kepada mereka yang mengambil risiko sebagai pemberi maklumat," katanya.

Akmal turut mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat yang disifatkannya berani mengambil risiko dalam membongkar dakwaan salah laku dalam Yapeim.

Akmal berkata tindakan yang keras sewajarnya diambil terhadap pihak yang terlibat.

"Umum mengetahui bagaimana wang tersebut disalah guna oleh mereka yang terbabit ke luar negara, pembelian alat golf simulator dan bayaran gaji serta bonus yang melampau kepada diri masing-masing, pendedahan laporan terbaru ini pula menunjukkan penyelewengan turut berlaku dalam urusan perniagaan seperti Ar-Rahnu dan pembelian saham syarikat yang tidak menguntungkan.

"Saya yakin tindakan-tindakan tersebut merupakan perbuatan jenayah yang sudah semestinya melanggar undang-undang.

"Mereka yang terlibat sewajarnya diambil tindakan yang sekeras-kerasnya dan mereka wajib memulangkan semula segala wang dan imbuhan yang diselewengkan," katanya

Tiada ulasan: