Bekas Adun Tanjong Papat itu diterima masuk ke dalam Warisan oleh Presiden Warisan Shafie Apdal, yang juga ketua menteri Sabah, dalam satu majlis makan tengahari di Sandakan.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Tan membuat keputusan untuk menyertai Warisan kerana beliau merasakan masih boleh menyumbang kepada negeri selagi dikehendaki oleh ketua menteri.
“Selepas pilihanraya tahun lepas, saya berfikir kerana umur saya sudah meningkat, mungkin masanya untuk saya bersara. Tapi jika diperlukan untuk membantu ketua menteri, atas permintaan beliau, saya akan melakukannya,” katanya.
Tan menjadi wakil rakyat Tanjong Papat selama 24 tahun sebelum tewas kepada DAP pada pilihan raya umum tahun lalu. Sejak kekalahan itu, Tan tidak muncul di khalayak ramai sebelum penampilannya hari ini untuk sertai Warisan.
Mengulas spekulasi beliau sepatutnya bertanding pada pilihan raya kecil Sandakan, Tan menjelaskan ia adalah budi bicara parti, tetapi dia menolak keputusan itu.
Oleh kerana seorang ahli tertakluk pada keputusan pimpinan, Tan membuat keputusan untuk meninggalkan Gerakan.
“Saya tidak akan menjelaskan sebab. Ia tidak penting. Ia sudah selesai. Pilihan raya kecil sudah pun separuh jalan. Apa yang boleh saya katakan ialah saya minta maaf,” katanya.
Sementara itu, Shafie berkata Tan bertemu beliau baru-baru ini untuk memberitahu secara peribadi hasrat Tan untuk menyertai Warisan.
“Saya amat berbesar hati kerana bekas timbalan ketua menteri itu mahu bekerjasama dengan kerajaan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Shafie berharap penyertaan Tan ke dalam Warisan akan memberi manfaat kepada kerajaan, kerana selain pernah bertugas sebagai peguam, Tan juga seorang ahli politik yang berpengalaman.
Sebelum acara petang ini, satu mesej tersebar di WhatsApp yang mengatakan penyertaan Tan ke dalam Warisan bukan tanpa balasan.
Mesej itu mendakwa Shafie dipaksa untuk bersetuju dengan syarat-syarat seperti melantik Tan sebagai salah seorang daripada 6 Adun dilantik dan juga mengangkat Tan sebagai menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat yang baru.
Shafie menafikan perkara ini dan berkata Tan tidak pernah meminta jadi calon pilihan raya atau Adun dilantik.
“Beliau hanya mahu membantu kerana beliau berpengalaman dan saya fikir ini cara terbaik. Saya melihat ini sebagai satu perkembangan positif bukan sahaja kepada calon kami di Sandakan tetapi juga kepada Warisan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan