SERI ISKANDAR: Kerajaan negeri Perak menangguhkan larangan penggunaan
plastik dan polisterin di negeri ini sehingga satu kajian menyeluruh
mengenai pengunaan kedua-dua bahan itu selesai dilakukan.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri
tidak boleh melarang penggunaan plastik dan polisterin tanpa memberikan
penyelesaian alternatif walaupun pengumuman mengenai larangan itu dibuat
tahun lepas.
"Kita perlu melihat beberapa aspek lain dan tidak boleh
sewenang-wenangnya melarang penggunaan plastik dan polisterin di negeri
ini tanpa memberi alternatif lain," katanya pada sidang media selepas
merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak 2017 di Universiti
Teknologi MARA di sini, pada Isnin.
Zambry berkata beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Dr
Muhammad Amin Zakaria untuk menjalankan kajian terperinci dan mengadakan
pertemuan dengan semua pihak berkaitan berhubung perkara itu.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak April tahun lepas,
Muhammad Amin mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menguatkuasakan
larangan penggunaan plastik dan polisterin di negeri itu mulai 1 Jun ini
dalam usaha memelihara alam sekitar.
Muhammad Amin berkata sebagai alternatif kepada penggunaan plastik dan
polisterin, kerajaan negeri menggalakkan penggunaan kertas atau bahan
boleh diurai selain memberi pengiktirafan kepada premis perniagaan yang
memberi kerjasama melaksanakan inisiatif Perak bebas plastik dan
polisterin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan