Rabu, 31 Mei 2017

Kenapa masih persoal kedudukan PAS di Selangor - Idris

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
SHAH ALAM: PAS memulangkan 'paku buah keras' kepada DAP yang masih mempersoalkan kedudukan tiga exco dan wakil pimpinan parti itu di Selangor.
Naib Presidennya, Dr Idris Ahmad kemudiannya merujuk tindakan DAP pada 2015, apabila parti itu yang mengambil langkah pertama memutuskan hubungan dengan PAS di dalam Pakatan Rakyat (PR) ekoran percanggahan berterusan mengenai matlamat politik.
"Mengapa waktu berpisah dengan PR mereka tak letak jawatan di Selangor? Sedangkan mereka keluar dahulu (PR)," katanya ringkas ketika diajukan hal tersebut.
Untuk rekod, DAP mengumumkan gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang diwujudkan pada 2008 putus serta-merta kerana perbalahannya dengan PAS.
DAP didakwa gagal menerima perjuangan PAS berkenaan hudud dan dasar Islam yang akhirnya membawa kepada 'perang mulut' sesama pemimpin parti-parti berkenaan.
Dua hari lalu, ahli DAP, Prof Abdul Aziz Baru mendakwa keengganan PAS untuk meletak jawatan dalam kerajaan negeri Selangor menjelmakan peribadi sebenar parti itu.
Beliau berkata PAS hanya mementingkan kedudukan dan jawatan, selain menuduh 'hipokrasi' PAS pada hari ini lebih jelas berbanding kepimpinan terdahulu.
Aziz kemudiannya memberi contoh bagaimana bekas presiden PAS, Tan Sri Asri Muda meletak jawatan di dalam jemaah menteri persekutuan kerana membantah pengisytiharan darurat di Kelantan.
Mengulas lanjut, Idris hairan bagaimana DAP masih tidak berpuas hati dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharuffin Idris Shah yang berkenan mengekalkan kedudukan tiga exco dan pimpinan PAS yang lain.
"Hormatlah (keputusan). Malah apa yang PAS ambil ini pun supaya wujud kestabilan, PRU14 semakin dekat dan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.
"Sultan Selangor pun bersetuju dengan sikap PAS yang mana meletakkan soal kestabilan negeri dan rakyat," tegasnya.
Awal bulan ini PAS secara rasmi memutuskan kerjasama dengan PKR, apabila Majlis Syura Ulama memutuskan langkah itu perlu demi mempertahankan agenda Islam PAS.
PAS menuduh PKR melanggar syarat kerjasama, gagal menyokong PAS dalam agenda Islam, dan menentangnya pada pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar tahun lalu.
Walaupun PKR mengarahkan semua lantikan politik parti berundur dari kerajaan Kelatan, PAS memutuskan tiga exco mereka kekal di Selangor sehingga pilihan raya umum akan datang.
Tiga exco berkenaan ialah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad; Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi; Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi serta Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

Tiada ulasan: