Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Golongan yang terlalu mendambakan kedudukan dan jawatan di
dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dialu-alukan untuk keluar
sebelum pembangkang menang di dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata demikian
mengulas tindakan 1,000 pemimpin dan ahli-ahli parti itu di Perak yang
keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan pucuk kepimpinan.
Beliau percaya golongan berkenaan akan merencatkan matlamat dan perjuangan PPBM jika masih terus berada di dalam parti.
"Yang saya kesal ada beberapa ahli yang sangat baik, namun kerana
terikut dengan beberapa figura politik yang keluar, maka mereka keluar
sekali. Itu menyedihkan.
"Saya hendak tekankan, mereka yang keluar kerana jawatan atau tidak
dapat kuasa, itu dipersilakan untuk keluar. Kerana ia lagi susah apabila
kita menang ke Putrajaya, maka individu inilah yang akan menyusahkan
kita kerana mereka sertai PPBM kerana jawatan dan kuasa," demikian
menurut Syed Saddiq ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Semalam Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata
pihaknya tidak akan menghalang mana-mana ahli untuk mencari wadah
perjuangan yang baru jika tidak serasi dengan asas perjuangan parti.
Kenyataan itu dibidas salah seorang bekas ahli PPBM, Kamarulazman
Habibur Rahman yang mengingatkan kepimpinan parti itu agar tidak terlalu
selesa meskipun mendakwa tidak terkesan dengan tindakan sebilangan
ahlinya yang keluar parti dan meletakkan jawatan.
Tegasnya barisan kepimpinan PPBM yang terdiri daripada mereka yang
berpengalaman dan berpengaruh bukanlah jaminan utama terhadap kestabilan
parti itu.
Kamarulazman sebelum ini mendakwa PPBM mengamalkan kronisme dan pilih
kasih, selain menempelak sikap sesetengah pemimpin parti yang bekerja
demi jawatan dan kedudukan.
Dalam masa yang sama, Kamarulazman juga mengingatkan pemimpin parti
tidak memandang rendah kemampuan bekas ahli-ahlinya kerana golongan itu
boleh bergabung mendedahkan segala kepincangan di dalam PPBM.
Diajukan gertakan bekas ahli majlis pimpinan tertinggi PPBM itu, Syed Saddiq menyerahkan segalanya kepada penilaian rakyat.
"Jika perkara itu terjadi biar rakyat sendiri yang menilai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan