Rabu, 31 Mei 2017

Wartawan ‘ditipu’ pimpinan PH, mesyuarat bincang logo

Mohd Haizal Yatiran
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad bercakap kepada media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL
 

PUTRAJAYA – Sekumpulan wakil media yang berkumpul di perkarangan Yayasan Perdana di sini petang tadi kecewa dengan ‘layanan’ daripada wakil Pakatan Harapan (PH).

Selepas mendapat jemputan lewat petang, wakil media kemudiannya dimaklumkan tidak ada sidang media selepas selesai mesyuarat Majlis Presiden PH.
 
Dalam keadaan bergegas ke Yayasan Perdana dan pada masa menjelang waktu berbuka puasa, sesetengah mereka hampa kerana tidak ada majlis sidang media secara teratur seperti biasa.

Terdahulu, pihak media melalui aplikasi Whatsapp dijemput untuk membuat liputan sidang media yang sepatutnya diadakan pukul 6.30 petang berkenaan mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, lebih kurang pada pukul 7.15 malam beberapa minit sebelum masuk waktu berbuka puasa, pihak majlis yang diwakili Naib Presiden PKR, Nurul Izzah memaklumkan tiada sebarang sidang media.

Muhyiddin, ketika ditemui pemberita hanya ‘mengunci mulut’ sebelum meninggalkan wakil media yang menunggunya.

Wakil media kemudiannya meluru ke arah Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapatkan maklum balas Penasihat PH namun beliau hanya bercakap ringkas mengenai penggunaan satu logo mewakili PH menjelang PRU-14.

“Mesyuarat tadi membincang pasal logo Pakatan Harapan. Pakatan Harapan akan bertanding guna satu logo PRU akan datang,” katanya.

Logo rasmi PH akan diumumkan pada 9 Jun dan ia hanya mengekalkan perkataan ‘Harapan’ dengan sedikit pengubahsuaian.

“Kita telah bersetuju dengan logo tersebut,” kata Mahathir.

Mengenai calon Perdana Menteri, bekas perdana menteri itu berkata, mereka tidak membincangkan perkara tersebut pada mesyuarat hari ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata pakatan itu menjangka memberi kata putus berkenaan pembahagian kerusi PRU-14 pada Julai depan.

Katanya mesyuarat hari ini turut membincangkan mengenai manifesto, pembahagian kerusi, logo dan semua perkara berkaitan PRU-14.

Mengenai logo PH, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini pernah memuat naik logo cadangan PH namun dikritik hebat netizen sehingga memaksa mereka mengajak orang ramai mencipta logo lebih baik menerusi satu pertandingan.

Namun sehingga sekarang PH bukan sahaja gagal memilih siapa calon PM antara mereka malah logo pun belum dimuktamadkan. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: