Isnin, 29 Mei 2017

Vida akur arahan KKM, tarik balik produk

Wartawan MalaysiaGazette
Hasmiza Othman

KUALA LUMPUR – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman sudah mengambil tindakan menarik balik produknya di pasaran sejak dua bulan lalu.

Ia berikutan arahan daripada pihak Kementerian Kesihatan, lapor sebuah laman portal.

Menurutnya, beliau akur dengan keputusan kementerian berkenaan yang mahu supaya produknya ditarik balik.

“Saya terima arahan mereka. Produk ini tidak sempat lagi dipasarkan secara meluas, baru saja, kemudian terus kena (arahan tarik balik). Produk ini sebenarnya produk baru,” katanya seperti dilaporkan.

Hasmiza yang lebih dikenali sebagai Datuk Vida mengakui, produk Qu Gebu Krim hanya dijual di farmasi dan penggunaannya perlu mendapat kebenaran pengamal perubatan bertauliah.

“Kena kawal, bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya. Bimbang ada yang keliru atau salah guna. Sebab itu, ia ada dalam akta kawalan dadah dan kosmetik,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyenaraikan salah satu produk kosmetik keluaran Vida iaitu Qu Gebu AP Krim bersama enam produk lain ditarik balik dari pasaran.

Ia ekoran produk-produk terbabit dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hydroquinone dan tretinoin.

Menurut Noor Hisham, produk itu mengandungi hydroquinone dan tretinoin iaitu produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Ini bukanlah kali pertama produk kosmetik Vida ditarik balik.

Pada Januari tahun lalu, dua produk kosmetik jenama Qu Puteh ditarik balik selepas Kementerian Kesihatan negara ini dan Brunei mendapati ia mengandungi merkuri. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: