Selasa, 30 Mei 2017

Pendapatan pelaburan suku pertama KWSP melonjak 73.9 peratus kepada RM11.79 bilion

ANTARAPOS.COM

Post Pic


KUALA LUMPUR: Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melonjak 73.9 peratus kepada RM11.79 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2017 berbanding RM6.78 bilion pada tempoh sama, tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata prestasi memberangsangkan itu didorong oleh peningkatan ketara pasaran domestik dan global dalam suku kajian berkenaan.

Nilai aset pelaburan KWSP turut menokok 2.2 peratus kepada RM747.17 bilion daripada 31 Dis, 2016, membabitkan pelaburan patuh Syariah bernilai RM352.73 bilion manakala selebihnya dilaburkan dalam aset konvensional, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah pelaburan aset itu, ekuiti merangkumi 41.76 peratus dengan menyumbang sebanyak RM7.10 bilion atau mewakili 60.2 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku kajian itu.

Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 178.6 peratus daripada RM2.55 bilion yang dicatat pada suku sama, tahun lepas.

Pemulihan sektor perbankan pula menyumbang kira-kira 30 peratus daripada pendapatan urus niaga dan dividen pada suku pertama 2017.

Menurut Shahril Ridza, selain peningkatan dalam pasaran ekuiti domestik, pasaran global juga terus menyediakan peluang untuk KWSP meraih keuntungan biarpun terus berdepan ketidaktentuan susulan faktor seperti pilihan raya di negara-negara zon Eropah, rang undang-undang penjagaan kesihatan dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kenaikan kadar faedah AS serta rundingan melibatkan proses pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah atau Brexit.

"Kesan daripada faktor-faktor yang mempengaruhi pergerakan pasaran itu bagaimanapun dapat dikurangkan oleh data ekonomi yang positif termasuk semakan semula terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi-ekonomi utama," katanya.

Shahril Ridza berkata pelaburan luar negara KWSP yang merangkumi 29 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan, telah menyumbang 37 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku pertama 2017.

Bagi suku sama, pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan bon setaraf menyumbang sebanyak RM1.94 bilion kepada jumlah pendapatan; pinjaman dan bon (RM2.14 bilion); instrumen pasaran wang (RM372.79 juta) manakala hartanah dan infrastruktur (RM246.27 juta).

Sejajar pelaksanaan Simpanan Syariah pada 1 Januari tahun ini, sebanyak RM952.10 juta daripada pendapatan pelaburan kasar RM11.79 bilion telah dijana bagi Simpanan Syariah manakala RM10.84 bilion untuk Simpanan Konvensional.


Tiada ulasan: