Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed
Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan agar tidak bersikap angkuh dan ego
untuk menerima nasihat yang diberikan demi kepentingan parti itu.
Penyelaras Gerakan Deklarasi Rakyat yang juga bekas ahli PPBM, Datuk
Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, kenyataan beliau terhadap Syed
Saddiq semalam adalah sekadar nasihat agar pemimpin muda itu menggunakan
saluran dalaman untuk menyuarakan kritikan terhadap parti.
“Saya kata kalau ada apa-apa masalah, dia sebagai Ketua Armada, kenapa
dia tak bercakap melalui saluran dalaman, dia ada saluran dalaman, dia
duduk dalam Majlis Tertinggi parti Bersatu (PPBM), bercakaplah melalui
saluran dalaman.
“Dia ada saluran yang terbaik, guna pakailah saluran terbaik dan ikut
saluran dalaman, apa-apa pun bermusyarah secara dalaman, janganlah buka
pekung di dada kerana akhirnya ia akan mengaibkan parti Bersatu (PPBM)
dan akan melemahkan parti bersatu dan PH
“Ini dia pergi hentam Naib Presiden secara terbuka, jadi macam mana
rakyat nak yakin dengan kita kalau nampak kita bertelagah sesama
sendiri, jadi macam mana rakyat nak yakin dengan kita," katanya ketika
dihubungi Antarapos.
Pertikaman lidah dua pemimpin itu bermula selepas Khairuddin mengkritik
sikap biadap Syed Saddiq yang menggesa Naib Presiden PPBM, Datuk
Hamidah Osman untuk meletakkan jawatan, ekoran mendakwa bekas Ketua
Wanita Umno Gopeng itu menjadi punca 1000 ahli serta pemimpin PPBM di
Perak keluar parti pada minggu lepas.
Malah, Khairuddin turut menggelarkan pendebat terbaik Asia itu sebagai
‘budak hingusan’ yang masih cetek ilmu politik berbanding Hamidah.
Kritikan Khairuddin itu kemudian dibalas Syed Saddiq dengan mengajak
mana-mana pihak yang menggelarkannya 'budak hingusan' untuk berdebat.
Khairuddin dalam reaksinya hari ini menolak ajakan tersebut kerana
menganggap pemimpin Armada itu tidak ‘setaraf’ dengan dirinya.
“Syed Saddiq ni, dia ni ‘budak hingusan’, bukan 'level' saya.
“Dia budak yang tidak ada ilmu politik, ilmu politik dia kosong, dia
ingat dia pemidato dunia terbaik, jadi dia tahu segala-galanya, dia beri
yang terbaik dalam politik tetapi tidak. Kalau dia jadi pendebat yang
terbaik, itu satu perkara yang amat berbeza dalam perjuangan politik,
politik ni lain.
“Saya cuma nasihatkan dia jangan terlalu angkuh dan ego, kalau nak buat
apa dalam politik, ikutlah saluran parti dan saluran dalaman parti,"
ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan