Tindakan Jaipk menarik semula sijil halal buat kali kedua dibuat selepas premis berkenaan gagal untuk mengikut piawaian halal yang ditetapkan.
Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaipk, Yusri Abdul Rani berkata, pada 21 Mac lalu, Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan Hab Halal Jakim menjalankan pemeriksaan ke premis tersebut pada jam 2.30 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan itu mendapati premis berkenaan tidak mematuhi syarat dan piawaian ditetapkan Jakim.
“Jakim kemudiannya bertindak menarik semula sijil halal dan menghantar laporan penuh mengenai premis tersebut kepada Jaipk.
“Susulan itu, laporan tersebut dibentangkan di Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Perak pada 25 April lalu dan ahli panel bersetuju bahawa premis terbabit beroperasi tanpa mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2014.
“Justeru, panel mencadangkan kepada Jakim supaya mengambil tindakan undang-undang memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius malah sudah masuk kali kedua melibatkan premis terbabit.
“Syarikat berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan (Halal) 2011 sama ada denda atau tawaran kompaun,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, semalam wakil syarikat terbabit tampil membuat rayuan untuk memohon semula sijil halal, selain membuat aku janji akan menjalankan penambahbaikan serta mewujudkan satu jawatankuasa yang menjaga perihal halal di premis tersebut.
Sebelum ini, kira-kira dua tahun lalu, syarikat tersebut melakukan kesalahan sama serta diberi notis sebanyak dua kali.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya di sekitar Ipoh tidak lagi menjual ayam keluaran syarikat berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan