Selasa, 30 Mei 2017

Grab kekal taja Sukan SEA, kata KJ

Mohd Haizal Yatiran
Menteri Belia dan Sukan, Yb Khairy Jamaluddin menunjukkan pingat emas sambil diiringi Pengarah Eksekutif Pemasaran Royal Selangor, Chen Tien Yue (kanan) pada Majlis Royal Selangor Memperkenal Rekabentuk Pingat Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Perkarangan Royal Selangor, Setapak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM
 

KUALA LUMPUR- Syarikat perkhidmatan panggilan kereta Grab, akan kekal sebagai salah satu syarikat penaja rasmi Sukan SEA Ke-29.

Meskipun dikatakan masih belum mendapat kelulusan di peringkat Parlimen dan belum ada lesen yang dikeluarkan daripada SPAD, penajaan Grab dalam penganjuran Sukan SEA tetap diteruskan.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu sidang media hari ini.

Menurut Khairy, operasi yang dijalankan oleh pihak Grab di negara ini masih belum dimuktamad, bagaimanapun, ia tidak menjadi satu kesalahan.

“Dari segi undang-undang juga, ia tidak menjadi masalah. Pihak kerajaan juga masih dalam proses bagi memuktamad peruntukan undang-undnang berkenaan Grab.

“Setahu saya, tidak ada isu Grab sebagai rakan kongsi kita dalam penganjuran Sukan SEA, tapi saya yakin Grab akan memastikan tiada insiden tidak baik berlaku sepanjang penganjuran SEA,” katanya.

Berikutan insiden rompakan seorang wanita mengandung minggu lepas yang melibatkan pemandu panggilan kereta, Khairy percaya Grab boleh memastikan perkara tersebut tidak berlaku dalam kalangan pemandu mereka.

“Berikutan insiden yang melibatkan syarikat lain(Uber), saya yakin rakan kongsi kami, Grab akan berusaha mengelak kejadian tersebut sepanjang Sukan SEA.”

Khairy hari ini mengumumkan Royal Selangor sebagai penaja Perak bagi penganjuran Sukan SEA – 29.

Antara bentuk penajaan daripada Royal Selangor, Obor yang digunakan sepanjang jelajah Sukan SEA.

Selain itu, turut menjadi tajaan utama daripada Royal Selangor adalah medal bagi keseluruhan penganjuran Sukan SEA, termasuk Sukan Para Asia ke -9. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: