DETIK DAILY
SKANDAL
1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan berlalu pergi. Sebuah
buku dan filem mengenai syarikat pelaburan Malaysia yang sarat hutang
hingga hampir RM42 bilion dan penyelewengan wang itu sedang disiapkan
oleh dua kumpulan.
Antara dinamakan di dalam buku dan
dokumentari itu termasuk Perdana Menteri Najib Razak yang juga bekas
ahli lembaga penasihat 1MDB, ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih
dikenali sebagai Jho Low, bekas ketua eksekutif Shahrol Halmi, Hazem
Abdul Rahman dan presiden terkini 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Yang
lain termasuk pengarah syarikat Arab Saudi, PetroSaudi Tarek Obaid dan
eksekutif Aabar dari Abu Dhabi, Khadem Al Qubaisi dan Mohammed Al
Husseiny, syarikat yang pernah menjadi rakan kongsi dengan 1MDB dalam
beberapa kerjasama.
Tom Wright dari Wall Street Journal (WSJ)
yang banyak membuat laporan pendedahan mengenai 1MDB, sedang menyiapkan
buku berkenaan sejak tahun lepas di mana dia menjanjikan akan ada
“banyak lagi pendedahan”.
Syarikat penerbitan British, Salt Lick
Films memulakan produksi dokumentari mengenai 1MDB dua tahun lalu dan
menjalankan urus niaga penerbitan bersama dengan satu lagi syarikat,
Roast Beef Productions dengan tarikh akhir tayangan perdana pada tahun
ini.
Tidak diketahui adakah pengarang Sarawak Report Claire
Rewcastle Brown terbabit dalam dokumentari itu tetapi dia yang
melaporkan mengenai kerja produksi itu pada Mac lalu di portalnya yang
membuat pendedahan mengenai 1MDB sejak 2015.
Sumber berkata
penerbit dokumentari itu menemu bual beberapa pemimpin pembangkang dan
aktivis mengenai skandal 1MDB yang kali pertama diketahui umum apabila
syarikat pelaburan itu tidak melaksanakan bayaran bonnya.
Ahli
politik pembangkang daripada DAP, Tony Pua dan Rafizi Ramli dari PKR
antara yang terawal mendedahkan hutang 1MDB sebelum ia mendapat
perhatian Sarawak Report dan WSJ.
WSJ menang Anugerah Scoop di
Anugerah Persatuan Penerbit di Asia (SOPA) 2016 menerusi laporan
“Skandal 1MDB Malaysia” yang mendorong kepada pelancaran siasatan
antarabangsa terhadap syarikat pelaburan negara itu dan juga liputan
media seluruh dunia.
Wright, yang juga pengarang meja ekonomi edisi Asia memenangi Anugerah Wartawan SOPA 2016.
Pendedahan
1MDB juga meletakkan WSJ sebagai finalis bagi Kategori Laporan
Antarabangsa dalam Anugerah Pulitzer di Amerika Syarikat, iaitu salah
satu daripada beberapa pihak berkuasa yang menyiasat jejak laluan wang
1MDB.
Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memfailkan tuntutan pada Julai
2016 memohon untuk menyita aset bernilai kira-kira AS$1 bilion yang
didakwa dibeli menggunakan wang dicuri daripada 1MDB, menjadikan ia kes
terbesar di bawah Inisiatif Perolehan Aset Kleptokrasi (KARI).
Kes
1MDB dilihat sebagai rampasan terbesar unit kleptokrasi itu di mana
pendakwa AS memperincikan beberapa transaksi kewangan mengelilingi
dunia dalam 136 halaman aduan. Kes itu masih belum selesai.
Pihak
berkuasa di negara jiran Singapura juga memulakan siasatan kes
berkaitan 1MDB, termasuk mendakwa beberapa warganegaranya atas kesalahan
yang ada kaitan dengan syarikat pelaburan itu.
Seorang warga asing
turut didakwa dalam siasatan negara itu terhadap
1MDB.-themalaysianinsight.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan