Ahad, 28 Mei 2017

SPAD perlu pikul tanggungjawab kes penumpang Uber disamun

 
Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia menggesa pengerusi dan ketua pegawai eksekutif SPAD letak jawatan ekoran kejadian melibatkan penumpang Uber.


ajit-uber-driver

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia hari ini menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memikul tanggungjawab penuh terhadap insiden samun membabitkan seorang penumpang wanita perkhidmatan Uber baru-baru ini.

Presidennya Ajit Johl berkata, pihaknya kecewa kerana SPAD kelihatan mengambil ringan kejadian itu meskipun sebelum ini membuat pengumuman yang pengendali perkhidmatan kongsi akan dikawal selia.

“Kami menuntut pengerusi dan ketua pegawai eksekutif SPAD mengambil tanggungjawab penuh dengan kejadian ini, kegagalan mengawal selia dan menyediakan perlindungan yang diperlukan kepada para pengguna.”

Katanya, kejadian 21 Mei lalu perlu menjadi kes terakhir melibatkan keselamatan pengguna pengangkutan awam, dan sehubungan itu, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif SPAD wajar meletakkan jawatan serta-merta.

“Cukuplah,” kata Ajit sambil menambah, walaupun undang-undang dan peraturan tidak bermakna akan berakhirnya isu-isu seperti itu, tetapi ia satu bentuk jaminan kepada para pengguna.

Semalam, media melaporkan penumpang terbabit yang baru hamil sebulan mengalami keguguran selepas disamun pemandu Uber bersama seorang lagi penumpang lelaki pada 21 Mei lalu.

Wong Mei Yan, 26, pada sidang media semalam berkata, beliau mengalami keguguran kira-kira seminggu selepas kejadian itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Uber akibat tekanan emosi dan kerugian yang ditanggungnya.

Sementara itu, Uber dalam kenyataan media semalam berkata, pihaknya sedih dan kesal dengan apa yang dilalui Wong serta akan terus berhubung dan membantunya.

Syarikat itu berkata, mereka mula bekerjasama dengan polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu beberapa jam kemudian.

Wong yang dilaporkan menempah perkhidmatan Uber dari sebuah pusat beli-belah di Bangsar untuk pulang ke rumahnya di Bandar Puchong Jaya, disamun pemandu dan seorang lagi lelaki yang berada di tempat duduk penumpang, selepas menaiki kereta jenis Proton Saga.

Semalam, Wong mendakwa beliau tidak perasan ada seorang penumpang berada di tempat duduk hadapan atau pemandu Uber itu mempunyai “ranking” rendah, sebelum kejadian itu berlaku.

Katanya, beliau hanya ternampak “lelaki kecil kurus” itu apabila pemandu berkenaan mula bercakap dengannya.

Polis menahan pemandu berusia 22 tahun itu di kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, Muar, pada 11 malam Khamis lalu, selain merampas sebuah kereta jenis Proton Saga BLM berwarna hitam.

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang beralamat di Kulim, Kedah itu memiliki 2 rekod jenayah lampau dan akan direman seminggu sehingga 31 Mei ini.

Ajit berkata, pihaknya mahu agensi kawal selia perlu lebih bertanggungjawab dan dalam hal ini, SPAD telah gagal dalam fungsinya menjaga kepentingan pengguna pengangkutan awam.

Kata beliau, walaupun kerajaan membelanjakan berbilion-bilion wang rakyat untuk membina infrastruktur pengangkutan awam, tidak banyak yang dilakukan untuk memastikan keselamatan dan perlindungan pengguna.

“Persatuan juga ada mencetuskan idea agar ditubuhkan tribunal pengangkutan awam. Jika industri perkhidmatan kewangan ada ombudsman perkhidmatan kewangan, mengapa industri pengangkutan awam tidak boleh mempunyai satu?” soal beliau

Tiada ulasan: