Ahad, 28 Mei 2017

Apabila bajet hospital kerajaan dipotong…



Oleh Timmy Say


 


“Kertas pun dicatu sekarang.” Begitulah kata-kata seorang jururawat sebuah hospital kerajaan di depan mata saya ketika salah seorang pesakit bertanya mengapa kertas di printer sentiasa kehabisan.

“Uncle! Uncle! Nombor kamu dah dipanggil,” kata seorang ketua jururawat klinik kepada bapa saya yang sedang menunggu gilirannya berjumpa dengan doktor pakar menyelia sakit di hospital kerajaan yang terletak 45km dari Subang.

TV paparan menunjukkan angka 1009, sama seperti nombor yang dipegang saya.

“Maaf cik, tak sedar,” kata saya sambil menolak bapa saya, seorang pesakit kanser, menggunakan kerusi roda ke bilik klinik yang tertera di skrin TV.

Namun, minda saya masih lagi terkesan dengan kata-kata jururawat tadi yang menyatakan “kertas pun dicatu sekarang.”

Biasanya saya perlu membayar RM5 setiap kali bapa saya datang mendapatkan rawatan mengikut temujanji di hospital kerajaan. RM5 ini merangkumi semua, termasuk segala ubat-ubatan bapa saya sehingga temujanji akan datang.

Tapi Jumaat lalu, saya tidak membayar sesen pun.

Ketika saya menghulurkan wang untuk membayar kepada juruwang yang mempunyai senyuman manis di kaunter pendaftaran, juruwang itu berkata, “Uncle dah tak perlu bayar. Bapa uncle dah 60 tahun Rabu lepas. Jadi sekarang dah ‘free’.”

Senyuman juruwang itu tidak lagi manis kerana memanggil saya uncle. Saya muda lagi, wahai adik!

Terdapat 3 orang doktor di dalam klinik untuk merawat bapa saya. Seorang doktor pakar, dan 2 orang doktor baru. Mereka cukup peramah dan mesra pesakit. Bapa saya yang murung pun sempat bergelak ketawa seolah-olah penyakitnya sudah sembuh.

Servis mereka bagaikan kita duduk di kelas pertama ketika penerbangan. Bagi saya, mereka lebih baik daripada hospital swasta.

Ketika rawatan hampir habis (setelah doktor pakar meninggalkan bilik klinik), saya mengambil kesempatan untuk berbual dengan 2 doktor yang lain, seorang doktor lelaki dan wanita berbangsa Malaysia.

“Doktor terasa ke di sini ada ‘budget cut’?” usik saya.

“Mana tak terasa. Semua yang kerja kerajaan mesti terasa,” jawab doktor lelaki tersebut.
“Contohnya?” tanya saya.

“Contoh mudah, kertas pun tak boleh guna sesuka hati. Kena jimat. Peralatan di hospital tidak ditambah. We have to live and do with what we have. Bajet lawatan pun kena potong. Ubat yang dulunya didapati berkesan 70-80% kini diganti dengan ubat yang kualiti rendah sedikit… Ya lah, tak boleh banding dengan hospital swasta…” jawab doktor lelaki itu.

“Jadi, apa yang doktor buat? Pihak atasan tahu tak?” tanya saya lagi.

“Mereka tahu. Tapi apa yang boleh dibuat. Sekarang kita terima sahaja. Mula-mula dulu memang rasa nak komplain. Tapi biasalah, kita rakyat Malaysi kan! Mula-mula hangat, lepas itu kita terima sahaja. Now, it is what it is and we can just try to manage as best as we could,” jawab doktor wanita itu.

“Mengapa doktor tak pergi kerja di hospital swasta?” saya bertanya lagi.

“Kami graduan biasiswa kerajaan. Kena bond 7 tahun. Tapi nak putus boleh saja, kena bayar RM100,000 atau RM200,000 kot. Ramai yang buat begitu,” kata doktor lelaki itu.

“Saya sedang sambung belajar tak habis lagi,” tambah doktor wanita itu sambil menambah, beliau sedang mengaji di 1 universiti di utara semenanjung.

Sebagai pengikut perkembangan politik yang tegar, maka terkeluarlah soalan ini daripada mulut saya yang gatal.

“Apakah yang perlu ditukar supaya situasi bajet ini akan dipulihkan?”

Dengan tangkas, doktor lelaki itu terus menjawab, “Pengurusan kerajaan. Mereka kena urus dengan lebih
baik. Tak salah kalau nak berjimat. Tapi potonglah benda yang tak penting. Bajet hospital untuk orang-orang sakit itu sepatutnya tidak dipotong. Ada benda yang perlu dijimat, tetapi bukan ubat.”

“Pihak atasan tahu ke tak ini pandangan doktor?” tanya saya lagi.

“Mereka rasa benda yang sama kot. Cuma tak tahu siapa yang berani bawa. Kalau tak boleh terima, lebih baik masuk swasta,” jawab doktor lelaki itu lagi sementara doktor wanita itu siap menaip laporan bapa saya.

“OK. Tunggu ambil slip ubat di kaunter pendaftaran,” kata doktor wanita itu bagaikan isyarat bahawa sembang-sembang saya dan mereka sudah sampai di penghujungnya.

“Selamat berpuasa doktor!” kata saya sambil membawa bapa saya meninggal bilik rawatan dan menuju ke farmasi.

Ketika mengambil ubat di farmasi, ahli farmasi itu bertanya bilakah temujanji dengan doktor seterusnya dan saya menjawabnya pertengahan bulan depan kalau mengikut kad temujanji.

“Ini ubatnya. Jumlahnya hanya cukup sampai temu janji nanti. Masa itu ambil lagi,” kata ahli farmasi itu.
“Tak boleh bagi lebih sikit?” tanya saya.

“Bajet sudah kena potong, uncle,” jawabnya dengan satu senyuman manis.

Melihat jumlah dan jenis ubat yang diberi kepada bapa saya tanpa saya perlu berbayar apa-apa kali ini, minda saya terbisik sesuatu.

“Ini percuma sebab rakyat bayar cukai. Apapun, ia masih lebih baik daripada hospital swasta,” bisik hati kecil saya.

Cuma terfikir, bagaimana penjawat awam akan mengundi nanti di PRU14 nanti?

Tiada ulasan: