Selasa, 30 Mei 2017

MPI: Waspada paparan berita elak sentuh sensitiviti

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Paparan muka depan akhbar The Star pada Sabtu lalu dilihat tidak bermaksud untuk menimbulkan sebarang kontroversi lantaran susun aturnya (layout) dilakukan mengikut panduan penyusunan berita.
 
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya bagaimanapun tidak monolak sekiranya pembaca terkeliru ekoran dua berita yang berbeza tidak 'dipisahkan' secara jelas.  
 
“Saya tengok dari segi ‘layout’ (susun atur) tiada masalah.
 
“Sebab dia ada dua cerita, satu pasal pengganas Malaysia, tapi dia ada ‘garisan’ halus yang memisahkan gambar dan cerita itu.
 
“Cuma bila diletakkan dalam satu muka jadi mungkin ia memberi implikasi yang berbeza, tapi dari segi ‘layout’ saya nampak, sebab dia ada garis pemisah di antara dua cerita tu," katanya kepada Antarapos.
 
Paparan muka depan The Star pada Sabtu lalu menimbulkan rasa kurang senang ramai pihak apabila memaparkan gambar umat Islam sedang menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan dengan tajuk muka depannya ‘Malaysian Terrorist Leader’.
 
The Star pada semalam diberikan tempoh selama tujuh hari bagi menjawab surat tunjuk sebab mengapa ia tidak boleh dikenakan tindakan, susulan laporan muka depan itu.
 
Sekiranya gagal, akhbar berkenaan bakal berdepan dengan tindakan penggantungan permit penerbitan, selain tindakan-tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984
 
Dalam pada itu Chamil menasihatkan semua agensi media di negara ini untuk lebih peka dan sensitif dengan sebarang berita yang dikeluarkan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
 
“Kadang kesilapan ni memang dilakukan oleh sesiapa, tapi nak kata perlu berhati-hati tu, mungkin perlulah.
 
“Dari segi layout memang dia dah jelaskan cerita yang di atas tu cerita lain, bawah tu cerita lain dengan keterangannya, cuma bagi pembaca umum, mungkin akan merasa keliru.
 
“Mungkin dari sensitiviti, maknanya untuk masa depan supaya semua media, bukan sahaja The Star untuk lebih berhati-hati dan berusaha untuk lebih sensitif dengan penyiaran gambar dan berita yang positif dan negatif pada muka yang sama,” ujarnya.
 
Tambah beliau, akhbar berbahasa Inggeris perlu memanfaatkan tempoh tujuh hari yang diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang agenda tertentu berhubung berhubung paparan muka depan itu. 
 
“Saya rasa tempoh tu patut digunakan dengan sebaiknya oleh akhbar The Star untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku sama ada ia disengajakan atau sebaliknya.
 
“The Star perlu meyakinkan KDN untuk menjelaskan bahawa mereka tidak ada agenda tersirat untuk memburukkan Islam dengan menyiarkan cerita yang pertama itu dengan gambar tersebut," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: