Ahad, 28 Mei 2017

Sanjeevan cabar ketua polis Jerantut letak jawatan

Berita Daily Staff

Sekiranya pertubuhan itu berjaya membuktikan kewujudan 11 pusat judi haram yang beroperasi di daerah berkenaan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), R Sanjeevan mencabar Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail meletakkan jawatan sekiranya pertubuhan itu berjaya membuktikan kewujudan 11 pusat judi haram yang beroperasi di daerah berkenaan.

Melalui posting Twitter miliknya, Sanjeevan berkata, Azid tidak sepatutnya menafikan kewujudan premis-premis tersebut.

“Ketua @PDRMsia Jerantut tidak perlu nafikan kewujudan premis judi di situ, jangan bodohkan rakyat, boleh resign jika kami buktikan?” kata Sanjeevan.

Azid sebelum ini menafikan dakwaan MyWatch terdapat 11 pusat judi atau maksiat yang aktif beroperasi secara terbuka di daerah ini.

Sanjeevan berkata, jumlah pusat judi berkenaan berdasarkan maklumat dan aduan yang diterima dari orang awam di daerah ini dan turut dikongsi penduduk di laman sosial khususnya Facebook.

“Jerantut bukanlah sebuah daerah yang besar seperti Kuantan mahupun Temerloh tetapi premis judi di sini bermaharajalela beroperasi 24 jam tanpa sebarang masalah dan tindakan daripada pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jika tidak ada sebarang tindakan, MyWatch tidak akan teragak-agak melaporkan isu ini kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya lagi.

Azid dalam kenyataannya menafikan perkara itu dan berkata sehingga kini hanya satu premis dilesenkan di bawah pusat hiburan keluarga dan didapati beberapa premis yang mempunyai lesen perniagaan snuker telah disalahgunakan dengan menjadikan premis tersebut sebagai pusat hiburan keluarga termasuk beberapa premis menjalankan aktiviti pusat hiburan keluarga tanpa lesen sah daripada PBT.

“Kita sudah membuat pemantauan dan mengambil tindakan selepas pemeriksaan dilakukan. Setakat ini sebanyak 39 kali pemeriksaan dilakukan dan 10 daripadanya dikenakan tindakan di bawah Enakmen Hiburan Negeri Pahang 1993 kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Menurutnya lagi, daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes sudah dituduh di mahkamah manakala tujuh kes lagi masih dalam siasatan.

“IPD Jerantut tidak berkompromi dengan apa juga aktiviti haram dan menyalahi undang-undang.  Saya selaku Ketua Polis Daerah Jerantut mengalu-alukan apa juga maklumat yang ingin disalurkan bagi membantu membanteras kegiatan ini dan saya akan pastikan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.

Tiada ulasan: