Selasa, 30 Mei 2017

Seminggu berlalu, wakil PKR Kelantan belum letak jawatan - Exco Kelantan

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan PAS Kelantan sehingga hari ini masih belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada wakil pimpinan PKR negeri itu.  
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, urusan pentadbiran kerajaan negeri sehingga kini tetap berjalan seperti biasa.   
 
"Belum lagi (terima surat peletakan jawatan), urusan berjalan seperti biasa," katanya kepada Antarapos, ketika ditanya mengenai perkembangan berhubung arahan peletakan jawatan wakil pimpinan PKR di negeri itu.
 
Pengerusi PKR Kelantan Abdul Aziz Abdul Kadir minggu lalu berkata, kesemua wakil pimpinan PKR akan menyerahkan surat peletakan jawatan mereka kepada kerajaan negeri secara serentak. 
 
Ia susulan arahan Biro politik PKR yang bermesyuarat dua minggu lalu yang memutuskan agar wakil pimpinan partinya di Kelantan meletakkan jawatan mereka serta merta, selaras dengan keputusan PAS yang menamatkan tahaluf siyasi di antara dua parti itu.
 
Abdul Aziz dipetik sebagai berkata, pihaknya memilih akur kepada arahan parti walaupun kerajaan PAS Kelantan masih membuka ruang kepada ahli PKR untuk meneruskan perkhidmatan di negeri itu.
 
Dalam pada itu, Che Abdullah sekali lagi mengulangi pendirian kerajaan negeri yang masih mengalu-alukan penyertaan wakil pimpinan PKR untuk meneruskan khidmat mereka.
 
"(Namun) Terpulang kepada anggota PKR sama ada terima atau tidak terima dan sebagainya," katanya lagi.
 
ADUN Wakaf Bharu itu berkata, sekiranya wakil pimpinan PKR tetap bertegas untuk meletakkan jawatan, kerajaan negeri tidak ada hak untuk memaksa atau menghalang pihak berkenaan berbuat demikian.
 
"Maknanya sekiranya ada kekosongan dan peletakan jawatan atau sebagainya, kalau ada keperluan untuk kita mengisi jawatan tersebut, kita akan isi," ujar beliau.
 
 

Tiada ulasan: