SAYA
tertarik untuk mengulas tulisan Naib Pengerusi 1 AMANAH Perak, Dr
Muhaimin Sulam, bertajuk “Sukarnya berwacana jika bahasa kita berbeza”
yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini pada pukul 12:58
tengahari tadi, 24 Mei 2017, sekaligus mengulas tulisan beberapa orang
pemimpin AMANAH lain.
Di antara lainnya, Dr Muhaimin Sulam menulis begini:
“Kamarul Zaman adalah seorang penutur bahasa politik yang baik. Adalah tidak benar jika beliau dituduh sebagai sarjana bodoh. Lebih daripada itu, jangan diheret sama universiti yang menaunginya dalam perbahasan wacananya.”
“Universiti itu tidak bersalah dan tidak perlu dihukum kerana bahasa Kamarul Zaman.”
“Pihak yang menuduh beliau sebagai bodoh – pada mata saya – adalah pembaca suatu doktrin politik juga.”
“Noam Chomsky membahagikan bahasa kepada
dua; bahasa mengikut kamus dan bahasa mengikut doktrin. Mana mungkin
graduan Indiana University dengan pointer tinggi, serta anak didik Prof
Dr Redzuan Othman di Universiti Malaya (UM) boleh dihukum bodoh semudah
itu?”
Sambung Dr Muhaimin Sulam lagi:
“Bagi saya Kamarul Zaman bijak menggunakan bahasa sebagai modal sosial yang berharga bagi UMNO dan PAS. Gagasannya mudah difahami oleh sebahagian daripada masyarakat Melayu. Sikit atau banyak yang faham, itu persoalan lain.”
“Hampir keseluruhan tulisan Kamarul Zaman cuba membina persepsi bahawa pembangkang – terutamanya Pakatan Harapan – sebagai bermasalah dan salah. Itu objektifnya. Itu motif akhirnya.”
“Sepintas lalu, beberapa terma digunakan Kamarul Zaman seperti, bacul, bodoh, ekstrim, hipokrasi, rakus, dominan, tidak siuman dan lain-lain bolehlah saya kategorikan sebagai persoalan seputar isu Melayu dan Islam yang bersifat etniksiti dan agama. Inilah dogma yang hendak dikemukakan oleh beliau kepada khalayak.”
“Khalayak yang memiliki tahap bahasa yang selari dengan bahasa yang digunakan oleh Kamarul Zaman akan mudah menerima hujah pensyarah universiti itu.”
Terima
kasih kepada Dr Muhaimin Sulam kerana masih berfikiran rasional,
walaupun sebahagian besar pemimpin AMANAH lain sudah kelihatan dibawa
oleh arus emosi, dengan menegur para pemimpin AMANAH, para pemimpin DAP
dan para penyokong mereka yang menyifatkan saya sebagai bodoh, atau, di
dalam bahasa Khalid Samad, bodoh tahap maksima, walaupun beliau sendiri
adalah seorang pemimpin AMANAH.
Walaupun
begitu, perlu dinyatakan bahawa saya adalah seorang individu yang suka
bercakap atau menulis secara terus-terang, iaitu “straight to the
point”, dan bukannya seorang individu yang suka bercakap atau menulis
secara puitis dan bombastik sehingga kadangkala terlalu sukar sekali
difahami apa isi sebenarnya seperti Dr Muhaimin Sulam.
Perlu
diakui bahawa saya, tanpa sebarang provokasi, pernah menggunakan istilah
keras seperti “kelentong” di dalam tulisan saya pada 8 April lalu bagi
merujukkan kepada Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua; “tohmahan” di
dalam tulisan saya pada 25 April lalu bagi merujukkan kepada Ketua
Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan; dan “hipokrasi” di dalam tulisan
saya pada 10 Mei lalu bagi merujukkan kepada DAP. Bagaimanapun,
penggunaan istilah keras tersebut, pada hemat saya, ada justifikasinya.
Istilah-istilah
keras lain seperti “bacul”, “bodoh” dan “ekstrim” yang disebutkan oleh
Dr Muhaimin Sulam pula sebenarnya hanyalah pemulangan kembali
istilah-istilah keras tersebut yang dilemparkan kepada saya sebelumnya
oleh para pengkritik saya. Ini pun sebenarnya tidak bersalahan dengan
ajaran Islam sendiri yang di antara lainnya menyebut bahawa “Dan
tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya
yang seimbang)” dan bahawa “Maka balaslah pencerobohan itu seimbang
dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu”.
PEMIMPIN AMANAH TIDAK MAMPU BERHUJAH
Apa pun,
isu-isu yang membabitkan saya dengan Hannah Yeoh dan DAP beberapa hari
kebelakangan ini sekadar menjelaskan lagi kepada masyarakat umum
mengenai hakikat bahawa AMANAH adalah sebuah parti politik yang diisi
oleh segerombolan manusia yang sebahagian besarnya tiada kemampuan untuk
berhujah secara intelektual tetapi hanya sekadar tahu menggunakan
bahasa kasar untuk menyerang individu lain yang “menyentuh” DAP.
Seperti
ramai yang mengikuti isu-isu ini sedia maklumi, para pemimpin AMANAH
sangat terkehadapan di dalam mempertahankan Hannah Yeoh dan DAP
sehinggakan ada masanya belum pun para pemimpin DAP sempat menjawab
apa-apa kritikan yang diberikan ke atas mereka, para hulubalang AMANAH
sudah terlebih dahulu keluar berpencak silat di gelanggang bagi menepis
kritikan terhadap DAP.
Apabila
saya membuat laporan polis terhadap Hannah Yeoh pada 17 Mei lalu, terus
sahaja para pemimpin AMANAH keluar mempertahankan Hannah Yeoh.
Khalid
Samad mem“bodoh tahap maksima”kan saya kerana kononnya menghujahkan
menghujahkan bahawa “tak boleh ada apa-apa buku tulisan mengenai agama
lain yang dijual di Malaysia”. Bila saya jelaskan bahawa tiada sepatah
pun di dalam laporan polis ayat yang menggambarkan saya mahu buku Hannah
Yeoh diharamkan dan betapa sejak 17 Mei lagi telah terpapar di dalam
portal berita NST Online kenyataan saya bahawa buku Hannah Yeoh
sepatutnya tidak dijual di rak terbuka tetapi dijual di rak Kristian,
tiada siapa pun dari pemimpin AMANAH yang berani mengulasnya.
Salahudin
Ayub pula mendakwa Hannah Yeoh diberi kebebasan di bawah Perlembagaan
Persekutuan untuk mengamalkan agama pegangan beliau dengan aman dalam
negara kita. Bila saya jelaskan bahawa kebebasan beragama ini adalah
dibataskan oleh Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang
memperuntukkan bahawa “Undang-undang Negeri dan, berkenaan dengan
Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,
undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan
apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti
agama Islam” dan oleh Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama
Bukan Islam di peringkat negeri yang memperuntukkan bahawa “Seseorang
adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut
seseorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota
suatu agama bukan Islam atau supaya cenderung kepada agama itu”, tiada
siapa pun dari pemimpin AMANAH yang berani mengulasnya.
Dato’ Dr
Mujahid Yusof Rawa dan Zolkharnain Abidin pula mempersoalkan mengapa
saya tidak terlebih dahulu mengajak Hannah Yeoh berwacana mengenai
kandungan buku beliau. Bila saya jelaskan bahawa lontaran begini patut
ditujukan kepada Hannah Yeoh, bukan kepada saya, kerana beliaulah yang
pertama sekali membuat laporan polis terhadap saya sebelum saya membuat
laporan polis terhadap beliau, tiada siapa pun dari pemimpin AMANAH yang
berani mengulasnya.
Punca
sebenar isu buku Hannah Yeoh timbul ialah kerana tiga pengakuan beliau
sendiri, iaitu mengenai betapa beliau menggunakan jawatan politik beliau
untuk berdiayah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan
kepada orang-orang muda; mengenai betapa beliau menyeru agar penganut
Kristian membina semula Malaysia kerana Tuhan mahu menuntut semula
politik dan perkhidmatan awam di Malaysia; dan mengenai betapa beliau
bercita-cita untuk membawa kepercayaan dan perkhidmatan Kristian kepada
dunia awam. Bagaimanapun, sehingga kini Hannah Yeoh sendiri mahupun para
pemimpin AMANAH dan para pemimpin DAP serta para penyokong mereka gagal
membuat apa-apa penjelasan yang memuaskan mengenai pengakuan Hannah
Yeoh ini, yang menjadi intipati kepada tulisan awal saya pada 10 Mei
lalu bahawa Hannah Yeoh adalah contoh hipokrasi terbesar DAP.
Begitu
juga bila saya umumkan pada 22 Mei lalu bahawa saya telah memulakan
inisiatif untuk menyediakan satu memorandum bagi mendesak Pendaftar
Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP mengapa
pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan
pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang memuaskan
kepadanya selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) dan Seksyen 13 (1) (c)
Akta Pertubuhan, dan bahawa setakat itu sudah lebih 100 ahli akademik
yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, termasuk 18
Profesor dan 24 Profesor Madya, yang bersetuju, di atas kapasiti
peribadi mereka, untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini,
terus sahaja para pemimpin AMANAH keluar mempertahankan DAP.
Pengumuman tersebut saya buat pada pukul 7:06 pagi.
Pada pukul
3:06 petang, Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin, terus keluar
menyatakan saya tidak cerdik dan tindakan saya memang tidak cerdik,
kononnya kerana bersusah-payah hendak membuat benda yang tidak perlu
dibuat.
Pada pukul
6:39 petang, Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, Wan
Anwar Wan Ibrahim, mengeluarkan satu kenyataan rasmi di atas nama KANUN
mendakwa bahawa tindakan saya membuat memorandum terhadap DAP adalah
salah satu tindakan bagi mendapatkan publisiti murahan semata-mata dan
bahawa sekatan ke atas kebebasan berpersatuan hanya boleh dilakukan jika
ada ancaman keselamatan ke atas Persekutuan atau ketenteraman awam.
Tambah beliau lagi, KANUN juga melihat tindakan saya lebih berbentuk
hasutan kepada orang ramai khasnya orang-orang Melayu untuk membenci DAP
dan seterusnya menolak untuk mengundi Pakatan Harapan di dalam PRU 14.
Pada pukul
7:38 petang pula, Ketua Pemuda AMANAH Perak yang juga seorang peguam,
Mohd Fitri Asmuni, pula berpencak dengan menuduh saya sebagai
cybertrooper bertaraf Doktor, penulisan saya tidak lebih dari sampah
yang tidak mempunyai nilai akademik sekalipun saya bertitle Doktor dan
penulisan saya memenuhi ciri-ciri untuk tindakan saman fitnah difailkan
terhadap saya.
Bandingkan
kekerasan dan kekerapan tindakan para pemimpin AMANAH membela DAP dalam
isu memorandum ini dengan hanya satu kenyataan rasmi dari DAP pada hari
itu, yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini pada 23 Mei, iaitu
oleh Ketua Pemuda Kebangsaan DAP, Wong Kah Woh, yang berbunyi: “One do
not need a PhD, or a Bachelor of Arts with Double major from Indiana
University at Bloomington (IUB), or to be a Senior Achievement Award
winner, to understand the 51-years-struggle of DAP for a better
Malaysia. Kamarul Zaman just need to get hold of a copy of the DAP
Constitution and read it through if he is reluctant to dig into the
historical profiles and struggles of DAP in the archives.”
Kepada
Wong Kah Woh, suka saya maklumkan bawa saya telah lama mengkaji
Perlembagaan DAP dan telah kerap kali membuat komentar mengenainya,
termasuk di dalam akhbar Berita Harian sejak 26 Jun 2015 lagi. Kamulah
yang sebenarnya tidak cerdik kerana tidak memahami Perlembagaan DAP
walaupun kamu sendiri bergelar Ketua Pemuda Kebangsaan DAP.
Kepada
Pengarah Syariah AMANAH, Zolkharnain Abidin, kamulah juga yang
sebenarnya tidak cerdik dan tindakan kamulah yang sebenarnya memang
tidak cerdik kerana sebab yang akan saya nyatakan selepas ini.
Kepada
Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH, Wan Anwar Wan
Ibrahim, bagaimana seorang peguam seperti kamu boleh menyatakan bahawa
sekatan ke atas kebebasan berpersatuan hanya boleh dilakukan jika ada
ancaman keselamatan ke atas Persekutuan atau ketenteraman awam sedangkan
Seksyen 2A (1) dan Seksyen 13 Akta Pertubuhan terang-terang memberikan
kuasa kepada Pendaftar Pertubuhan untuk membatalkan pendaftaran
mana-mana pertubuhan yang didapati melanggar syarat-syarat yang
ditetapkan?
Suka juga
saya mencabar Wan Anwar Wan Ibrahim supaya membuat laporan polis kepada
saya di bawah Akta Hasutan jika benar tulisan saya adalah berbentuk
hasutan.
Suka juga
saya mencabar Ketua Pemuda AMANAH Perak, Mohd Fitri Asmuni, supaya
mengambil tindakan saman fitnah terhadap saya jika benar tulisan saya
mengandungi fitnah.
MENGAPA SAYA KATAKAN PEMIMPIN AMANAH BODOH?
Saya
katakan pemimpin AMANAH bodoh kerana mereka sendiri sering menyatakan
kebimbangan mengenai kurangnya sokongan orang-orang Melayu Islam
terhadap Pakatan Harapan.
Presiden
AMANAH, Mohamad Sabu, malah pernah secara terbuka berucap di hadapan
Penasihat DAP, Lim Kit Siang, begini pada 7 Februari lalu: “Isu yang
kita bawa ini, iya, banyak. Tapi kalau jatuh BN, apa nak jadi pada orang
Melayu? Ini tanggapan persepsi, bukan satu fakta. Tapi inilah yang
dihadapi oleh kita menjelang pilihan raya yang akan datang. Memang
pilihan raya yang ke 2013 kita janji nak hapuskan PTPTN, nak hapuskan
tol, nak beri elaun kepada wanita yang tidak bekerja. Cukup menarik Buku
Jingga kita. Tetapi orang Melayu bertanya, kalau jatuh BN, apa nasib
pada orang Melayu? Inilah kita kena bina persepsi ini, terutama sekali
rakan-rakan daripada DAP jugak kena membantu nak mengubah persepsi ini.”
Persepsi
DAP anti Melayu anti Islam ini sudah lama tertanam di kalangan
orang-orang Melayu Islam. Kalau persepsi ini dibuat-buat takkanlah
dapatan kaji selidik Institut Darul Ehsan milik Kerajaan Selangor, yang
DAP sendiri sebahagian daripadanya, antara 13 hingga 15 November 2015
mendapati 64 peratus daripada 1,716 respondennya di Selangor bersetuju
DAP anti Islam. Kalau persepsi ini dibuat-buat takkanlah sampai sekarang
Penasihat DAP, Lim Kit Siang, tidak berani mengambil tindakan
undang-undang terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana
menyebut bahawa DAP anti Islam walaupun menyebut mahu berbuat demikian
sejak 28 Januari lagi.
Kita pergi
kepada kandungan memorandum yang kami, lebih 100 ahli akademik yang
sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, ingin kemukakan
bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan memberi surat tunjuk sebab kepada DAP
mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya
membatalkan pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang
memuaskan kepadanya selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) dan Seksyen
13 (1) (c) Akta Pertubuhan.
Hakikat
betapa aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP adalah berlawanan dengan,
atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira
mengenai “Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia” seperti yang
diperuntukkan oleh Seksyen 2A (1)(b) Akta 335 terbukti kerana induk yang
mendasari aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP, iaitu Perlembagaan DAP,
hanya menyebut mengenai “Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak
asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh
undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur
diskriminasi” (Fasal II (4)) tanpa mengandungi pengiktirafan ke atas
“Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia”.
Hakikat
betapa aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal DAP adalah berlawanan dengan,
atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira
mengenai “Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan
Sarawak” seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 2A (1)(d) Akta 335
terbukti kerana induk yang mendasari aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal
DAP, iaitu Perlembagaan DAP, hanya menyebut mengenai “Memberi hak yang
saksama kepada setiap rakyat Malaysia” (Fasal II (2)), atau mengenai
“Memberi peluang yang saksama dan mengagihkan kekayaan ekonomi kepada
semua rakyat berdasarkan penciptaan nilai-nilai dalam pasaran yang
bersaing dan tata ekonomi yang menegaskan penciptaan kekayaan dan
pengagihan kekayaan yang saksama” (Fasal II (10)), atau mengenai
“Berjanji untuk mempertingkatkan taraf pendidikan berdasarkan hanya
kepada merit dan keperluan, serta memberikan akses penuh dan peluang
yang sama kepada pendidikan peringkat awal, peringkat menengah dan
peringkat tinggi, terutamanya sektor-sektor teknologi maklumat yang
mengutamakan ilmu” (Fasal II (11)), tanpa mengandungi pengiktirafan ke
atas “Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak”.
Jika DAP
mahu terus bernyawa setelah diberikan surat tunjuk sebab oleh Pendaftar
Pertubuhan, maka sudah tentulah DAP di antara lainnya perlu meminda
perlembagaannya bagi memasukkan pengiktirafan ke atas
“Kedudukan agama
Islam sebagai agama Malaysia” dan bagi memasukkan pengiktirafan ke atas
“Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak”. Jika
ini berlaku maka sudah tentulah serangan bahawa DAP anti Melayu anti
Islam akan berkurangan, jadi tidakkah ini akan membantu kamu, para
pemimpin AMANAH, untuk membantu menarik sokongan orang-orang Melayu
Islam terhadap Pakatan Harapan?
MENGAPA PULA SAYA KATAKAN PEMIMPIN AMANAH KUDA TUNGGANGAN DAP?
Saya
katakan pemimpin AMANAH kuda tunggangan DAP kerana tindak-tanduk mereka
dan tindak-tanduk pemimpin DAP sendiri sering memperlihatkan bahawa
pemimpin AMANAH diperkudakan oleh pemimpin DAP.
Seperti
disebutkan di dalam tulisan ini sebelum ini, para pemimpin AMANAH sangat
terkehadapan di dalam mempertahankan Hannah Yeoh dan DAP sehinggakan
ada masanya belum pun para pemimpin DAP sempat menjawab apa-apa kritikan
yang diberikan ke atas mereka, para hulubalang AMANAH sudah terlebih
dahulu keluar berpencak silat di gelanggang bagi menepis kritikan
terhadap DAP.
Seperti
disebutkan di dalam tulisan lain sebelum ini, setelah pemimpin PAS yang
kalah di dalam pemilihan PAS pada tahun 2015 keluar dari PAS dan
menubuhkan AMANAH, rekod menunjukkan pemimpin DAP-lah yang memberi nyawa
kepada mereka melalui pelbagai cara, sama ada melalui saluran parti
atau Kerajaan Pulau Pinang yang dimiliki DAP.
Belum pun
AMANAH dilancarkan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sudah mengumumkan di
Gelang Patah pada 5 September 2015 bahawa keutamaan terbesar selepas 16
September (pelancaran AMANAH) adalah merangka rencana terperinci bagi
merampas Johor.
Di saat
ada pemimpin pembangkang, khususnya dari PKR, yang belum bersetuju
Pakatan Harapan ditubuhkan pada 22 September 2015, pemimpin DAP-lah yang
bekerja keras bagi meyakinkan mereka supaya menubuhkannya segera demi
kelangsungan AMANAH.
Sehari
selepas Pakatan Harapan diwujudkan, Setiausaha Agung DAP selaku Ketua
Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus mengumumkan keputusan mesyuarat
bahawa kerajaan itu digelar sebagai Kerajaan Negeri Pakatan Harapan,
bersama jawatan untuk AMANAH.
Dari sudut
ideologi pula, Liew Chin Tong sejak awal-awal lagi mewajibkan AMANAH
supaya memenuhi mandat progresif/sederhana dan mengemukakan satu wacana
menyeluruh post-Islamis mengenai maqasid syariah bagi memenangi sokongan
lebih ramai rakyat Malaysia.
TAKTIK DAP MEMPERKUDAKAN PARTI LAIN DIAKUI LIM KIT SIANG
Untuk
makluman para pemimpin AMANAH, taktik DAP memperkudakan parti lain untuk
kepentingan DAP ini pernah diakui oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang,
sendiri di dalam kenyataan yang diberikan oleh beliau kepada Andy Mickey
Choong Tek Choy pada 20 Mac 2006. Kenyataan Lim Kit Siang ini dimuatkan
oleh Andy Mickey Choong Tek Choy di dalam tesis sarjana beliau bertajuk
“Democratic Action Party of Malaysia and the Politics of Opposition
Coalition Building” dengan National University of Singapore.
“DAP
strategy within the opposition grouping was to buttress the young party
and hoped that a prolonged opposition cooperation may be sustained and
the PKR may come to maturity and lead the opposition forces not in the
coming general election but the next. Hence, the DAP were willing to
extend the level of cooperation from the various loose alliances with
political parties and CSAs and took the next step of transforming the
cooperation to a structured opposition coalition for electoral
contestation. By doing so, the DAP viewed that it was able to fulfill
their long term commitment to Malaysian society and at the same time
checking on the expansion of PAS by supporting the development of PKR,
which lacked the political machinery and resources as compared to the
established political parties.”
“Furthermore,
the DAP in the acknowledgement of political realities, attempted to use
PKR and Anwar as a counter balance to PAS growth in the Malay political
cleavage… In supporting the growth and development of PKR and the
cultivation of Anwar supporters, the DAP was able to check on the growth
and influence of the PAS in the opposition camp from within a
structured coalition.”
Kenyataan
Lim Kit Siang ini menggambarkan betapa liciknya strategi DAP, berkawan
dengan PAS di dalam satu pakatan politik, tetapi di dalam masa yang sama
berusaha keras untuk memastikan PAS tidak terlalu kuat dengan membantu
perkembangan PKR bagi memastikan PKR boleh digunakan untuk menghalang
perkembangan PAS.
Kini
apakah tidak mungkin strategi sama sedang digunakan oleh DAP, iaitu
berkawan dengan PKR di dalam satu pakatan politik, tetapi di dalam masa
yang sama berusaha keras untuk memastikan PKR tidak terlalu kuat dengan
membantu perkembangan AMANAH bagi memastikan AMANAH boleh digunakan
untuk menghalang perkembangan PKR?
*Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan