Selasa, 30 Mei 2017

Jangan tuduh Syiah sama bahaya macam IS, kata Nur Jazlan

 
Nur Jazlan tidak setuju pendirian agamawan Umno Fathul Bari yang berkata selain IS, fahaman Syiah juga menjadi ancaman besar keselamatan negara.


Datuk Fathul Bari Mat Jahya

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Ahmad hari ini menolak dakwaan seorang exco Pemuda Umno yang menyamakan fahaman Syiah dengan ancaman militan IS, sebaliknya menyeru agar lebih berhati-hati sebelum membuat tuduhan.

“Pengganas ini hanya musuh Islam sahaja. Untuk saya, kita mengamalkan toleransi di Malaysia ini dan kita saling meghormati Islam di negara kita,” kata Nur Jazlan kepada FMT.

Beliau ditanya mengenai dakwaan Datuk Fathul Bari Mat Jahya, rujukan utama Pemuda Umno dalam soal Islam, yang mengaitkan Syiah dengan kumpulan pelampau seperti IS.

“Saya rasa kenyataan macam itu bahaya,” kata Nur Jazlan yang berkata pengikut Syiah di negara ini tidak mengisytiharkan perang ke atas umat Islam lain.

Kenyataan Fathul yang menganggap Syiah sebagai ancaman besar seperti IS dibuat susulan gesaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pada Ahad lalu supaya memperkasakan usaha mengekang fahaman Syiah.

Malah, Fathul turut mengaitkan perkembangan fahaman IS kepada liberalisme dan pluralisme.

“Cara untuk kurangkan ekstrem, kurangkan ekstrem liberal, pluralisme, Syiah, IS dan sebagainya.

“Jika kita kurangkan satu, satu lagi akan berlebihan. Kita kena imbangi kedua-duanya,” katanya kepada FMT mengenai cara pihak berkuasa menangani keganasan IS.

‘Pengganas tidak ada kepercayaan’

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata konflik permazhaban seperti berlaku di Timur Tengah tidak perlu dibawa ke Malaysia.

Pengganas tidak mengenal kepercayaan, sama ada Syiah atau Sunnah, kata Nur Jazlan, dan menambah sesebuah kumpulan ditakrifkan pengganas selama mana ia melakukan keganasan.

“Itu yang kita anggap sebagai pengganas,” kata Nur Jazlan.

“Soal Syiah, itu perkara berbeza. Sebab itu soal kefahaman. Jadi takrif kita pengganas adalah orang macam IS yang nak mengancam keselamatan negara dan juga mengamalkan peperangan dan bunuh membunuh.”

Fathul sebelum ini kesal dengan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kerana mengaitkan militan IS kepada hasil karya ilmuwan Islam abad ke-14, Ibn Taimiyyah.

Sebaliknya, beliau mahu polis turut memantau karya tokoh Syiah.

Aliran Syiah merupakan mazhab Islam kedua terbesar dan berbeza pandangan dengan aliran Sunnah mengenai rujukan serta beberapa peristiwa awal sejarah Islam.

Pengikut Syiah juga kerap menjadi sasaran keganasan pejuang IS, kumpulan militan yang mengamalkan fahaman Wahabi, sejenis ajaran melampau Sunnah berasal dari Semenanjung Arab.

Malaysia merupakan satu-satunya negara di mana pihak berkuasa agama secara rasmi mengharamkan umat Islam berfahaman Syiah.

Elok kekang, atau berdebat?

Pandangan Fathul bagaimanapun sedikit disokong pensyarah yang kerap mengulas isu keganasan, R Paneir Selvam.

Katanya, pengaruh aliran Syiah wajar dikawal kerajaan kerana bimbang IS akan menjadikannya alasan mencetuskan keganasan.

“Ini boleh dijadikan IS sebagai propaganda. Dia boleh kata kepada pemuda daripada mazhab Sunnah, lihat macam mana keadaannya di Malaysia, (Syiah) sedang berkembang.

“Ini tak betul. Untuk apa? Untuk mempengaruhi pemuda mazhab Sunnah,” kata Paneir kepada FMT, sambil bersetuju pihak berkuasa memastikan umat Islam hanya mengikut satu mazhab di Malaysia.

Sebaliknya, pendakwah dan Exco Pemuda PKR, Wan Ji Wan Hussin, berkata umat Islam aliran Sunnah perlu menggunakan pendekatan ilmu dan kekuatan hujah, bukan dengan menggunakan kekuasaan dan undang-undang.

Bekas ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor itu juga tidak bersetuju dengan saranan Asyraf supaya meningkatkan usaha memerangi Syiah.

“Jika Dr Asyraf Wajdi yakin aliran Sunnah sebagai benar, dan Syiah sebagai batil, beliau perlu berhujah dalam ruangan kebebasan untuk mengekang ajaran Syiah, bukan dengan dengan kekuasaan dan undang-undang,” katanya kepada FMT.

Katanya, serangan ke atas fahaman Syiah juga boleh mendatangkan tindak balas serupa daripada negara majoriti Syiah seperti Iran.

“Hari ini pengikut Sunnah di Malaysia menggunakan undang-undang untuk kekang Syiah. Dibimbangi di masa akan datang, Syiah di Iran menggunakan undang-undang untuk kekang pengikut Sunnah di sana,” kata Wan Ji.

Tiada ulasan: