RANTAU PANJANG: Tumpuan kebajikan dizahirkan pentadbiran Pakatan terhadap rakyat negeri ini disifatkan lebih konsisten berbanding komitmen pentadbiran negeri diterajui Barisan Nasional.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Indusri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, perolehan hasil kekayaan negeri kini dinikmati rakyat secara adil hasil pentadbiran telus kerajaan Pakatan di negeri ini.
Mengambil contoh di Sarawak sebagai negeri pentadbiran Barisan Nasional (BN), Chang Khim berkata, kebajikan rakyat negeri itu seolah-olah dinafikan apabila mereka tidak mendapat kebajikan sebaiknya walaupun negeri itu kaya dengan sumber aslinya namun rakyat miskin.
“Sarawak mempunyai rizab yang jauh lebih tinggi dari Selangor, tetapi tidak ada satu pun pelaksanaan program berkebajikan yang dirangka untuk rakyat.
“Sebagai contoh, Selangor mampu memberi air percuma kepada semua orang, namun di sana Orang Dayak mahupun Orang Asal masih ada yang tidak dapat menikmati bekalan air dan elektrik,” katanya ketika berucap dalam program Smart Selangor Food Stamp di Dewan Orang Ramai Palembang, Rantau Panjang, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, walaupun Selangor tidak sekaya Sarawak namun masih mampu memberikan pelbagai manfaat hasil urus takbir yang baik.
“Apabila kita melaksanakan program kebajikan dan memberikan bantuan kepada rakyat pada masa sama kita masih dapat mengekalkan kedudukan kewangan yang baik.
“Kerajaan Persekutuan sendiri masih tidak mampu memberi manfaat seperti yang dilaksanakan Kerajaan Selangor. Ia diibaratkan orang kaya yang duit banyak tetapi miskin kerana banyak hutang dan mempunyai sikap boros,” katanya.
Pentadbiran Sarawak sebelum ini mendakwa, bakal meletakkan negeri itu sebagai negeri paling kaya menjelang 2030 kononnya hasil lonjakan pembangunan rancak pemimpin negeri itu.
Namun, sehingga kini jurang kemiskinan rakyat di negeri itu masih dipertikai hinggakan ada dalam kalangan anak-anak Sarawak gagal mendapatkan akses pendidikan terbaik.
Sebaliknya di Selangor, hasil kekayaan rizab negeri mencecah RM4 bilion terus disalurkan kepada rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai dasar berkebajikan.
Antaranya termasuk pengenalan Inisiatif Peduli Rakyat di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.=EZY=
Tiada ulasan:
Catat Ulasan