Oleh Athirah Hanapiah
KAPAR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menyerahkan urusan
berhubung peletakan jawatan wakil pimpinan PKR di Kelantan kepada
kerajaan negeri itu dan pimpinan partinya di sana.
Ujar Menteri Besar Selangor itu, beliau tidak akan mencampuri urusan
pentadbiran di negeri itu, sebaliknya percaya ia akan diselesaikan
dengan baik di antara kerajaan negeri Kelantan dan pimpinan PKR di
negeri itu.
Azmin terdahulu ditanya mengenai kenyataan Exco Kerajaan Tempatan,
Perumahan, Belia dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmod yang
menyatakan bahawa kerajaan negeri itu masih belum menerima sebarang
surat hitam putih peletakan jawatan daripada wakil PKR.
“Saya serahkan kepada kerajaan negeri Kelantan, saya tidak pernah
mencampuri urusan pentadbiran, saya percaya perkara ini boleh
diselesaikan secara baik di antara kerajaan negeri Kelantan dengan
pimpinan Keadilan (PKR) negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita
selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah di bawah Program Skim
Smart Sewa, di sini hari ini.
Ketika ditanya bila PKR akan menyerahkan surat perletakan jawatan
tersebut, Azmin hanya mengulangi keputusan yang telah dicapai sewaktu
mesyuarat biro politik PKR minggu lalu.
"Keputusan telah dibuat pada minggu yang lepas," katanya ringkas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan