Rabu, 31 Mei 2017

Kes cabul: Polis nasihat orang awam jangan ambil tindakan sendiri

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff meminta orang ramai agar tidak mengambil tindakan mengikut undang-undang sendiri terhadap pelaku atau individu yang disyaki melakukan jenayah.
 
Asri berkata demikian mengulas kes seorang lelaki yang meninggal dunia selepas dipukul orang awam ekoran dipercayai mencabul seorang wanita di Plaza Sentosa, di sini, Ahad lalu.  
 
Mengulas lanjut, Asri berkata, berdasarkan bedah siasat, suspek cabul terbabit dipercayai meninggal dunia akibat patah tengkuk selepas ditendang dan dipukul. 
 
"Nampak tak teruk tapi apabila ditendang dan sebagainya hingga terkena titik tengah (bahagian sentitif), ia boleh menyebabkan kematian. 
 
"Contohnya seperti samseng jalanan yang menagih dadah, anggota badan penagih dadah ini sangat sensitif dan boleh menyebabkan kematian jika pukul di perut sekalipun. 
 
"Ini adalah pengajaran kepada orang ramai di luar sana, jangan ambil tindakan sendiri, cukup sekadar tangkap dan ikat suspek, kemudian serahkan kepada polis," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 dan Pemakaian Pangkat PDRM Kontinjen Kedah hari ini. 
 
Dalam kejadian 4 petang, Ahad lalu, suspek yang berusia 31 tahun telah dibelasah kerana dia dipercayai mencabul kehormatan wanita yang merupakan jurujual di Plaza Sentosa.
 
Susulan kejadian itu, suspek mengalami kecederaan di muka, telinga dan badan sehingga terpaksa dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum disahkan meninggal dunia semalam.
 
 

Tiada ulasan: