Peniaga itu boleh dikenakan denda maksimum RM50,000
atau penjara tidak melebihi 2 tahun, jika didapati mengaut keuntungan
berlebihan.
PETALING JAYA: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan Terengganu mengeluarkan surat amaran kepada seorang peniaga warung di Kemaman untuk menjelaskan isu nasi campur berharga RM32.
Pengarahnya, Azlan Abdul Samat yang dipetik China Press dan Sin Chew Daily berkata, mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, peniaga itu boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, jika didapati mengaut keuntungan berlebihan.
Katanya, penguat kuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan cawangan Kemaman menjalankan pemeriksaan ke atas kedai terbabit pada Rabu lalu, susulan aduan seorang pengguna yang tersebar di media sosial.
Beliau berkata, selain diberikan surat amaran, 3 jenis lauk turut disita kerana tidak diletakkan tanda harga.
Minggu lalu, pengadu yang juga seorang bapa tunggal terkejut apabila sepinggan nasi yang berlauk seekor udang besar, 2 keping sotong dan sedikit kangkung dicaj RM32.
Beliau kemudiannya memuat naik gambar nasi campur itu ke Facebooknya dan ramai pengguna media sosial turut mengkritik peniaga terbabit mengenakan harga tidak masuk akal.
Pengadu kemudiannya dilaporkan mahu menyaman apabila peniaga terbabit mempertahankan diri dengan mendakwanya menyorokkan sekeping lagi sotong di dalam nasi dan saiz udang galah gred A kelihatan lebih kecil daripada saiz sebenar dalam gambar yang disebarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan