Isnin, 29 Mei 2017

Mujahid, PAN penyeleweng legasi Yusof Rawa

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF

 
SEPERTI dimaklum, Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, melalui tulisan yang disiarkan oleh akhbar The Star pada 26 Mei menggunakan nama bekas Presiden PAS merangkap bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Haji Yusof Rawa.
 
Di dalam tulisan bertajuk “Yusof Rawa Tried Middle Path” ini, Dr Mujahid cuba mengaitkan Almarhum Haji Yusof dengan perjuangan AMANAH dengan menyebutkan betapa AMANAH adalah penerusan kepada legasi Almarhum Haji Yusof.
 
Satu cara untuk melihat sama ada AMANAH adalah penerusan kepada legasi Almarhum Haji Yusof ialah dengan membandingkan tahaluf siyasi yang dijalinkan oleh PAS di bawah pimpinan beliau dengan tahaluf siyasi yang dijalinkan oleh AMANAH.
 
Tidak ramai yang tahu bahawa PAS di bawah pimpinan Almarhum Haji Yusof telah menyertai Pilihan Raya Umum 1986 di dalam satu pakatan pembangkang yang dikenali dengan nama Harakah Keadilan Rakyat atau nama ringkasnya HAK.
 
Sebab itulah ramai juga penganalisi politik amatur, khususnya mereka yang berkecenderungan untuk menyokong lawan PAS, meletakkan Pilihan Raya Umum 1986 ke dalam kategori di mana PAS kononnya menyertainya secara bersendirian.
 
Hakikatnya ialah Almarhum Haji Yusof sendiri, selaku Presiden PAS, yang mengeluarkan kenyataan media pada 30 Jun 1986 bagi mengumumkan kesediaan PAS mengambil daya usaha ke arah mewujudkan persefahaman di kalangan parti-parti pembangkang.
 
Tegas Almarhum Haji Yusof, persefahaman ini hendaklah dilandaskan kepada prinsip-prinsip “menghormati pegangan teguh PAS terhadap gagasan perjuangan menegakkan negara Islam” serta “mengakui kepimpinan Islam sebagai teras kestabilan politik di negara ini dan demi untuk merealisasikan (ke)wujud(an) persefahaman jangka panjang di kalangan parti-parti tersebut PAS adalah diterima menerajui kepimpinan itu”.
 
Setelah berunding, akhirnya tiga buah parti, iaitu PSRM, NASMA dan SDP, telah bersetuju untuk mewujudkan persefahaman dengan PAS di dalam HAK, tetapi DAP enggan menyertai persefahaman ini kerana tidak bersetuju dengan ketegasan Almarhum Haji Yusof mempertahankan perjuangan Islam PAS.
 
Tiga butiran yang terkandung di dalam perisytiharan persefahaman yang ditandatangani oleh Almarhum Haji Yusof (PAS), Kampo Radjo (PSRM), Raja Nasron Raja Ishak (NASMA) dan Ahmad Nor (SDP) pada 14 Julai 1986 yang tidak dipersetujui oleh DAP adalah:
 
(1) “Semua parti yang menandatangani perisytiharan ini adalah mengakui hak PAS memperjuangkan negara Islam”
 
(2) “Islam dan nilai-nilai sejagat hendaklah diterima sebagai teras kepimpinan”
 
(3) Sekiranya ia diberi peluang, HAK akan membentuk kerajaan yang akan “menegakkan Islam sebagai al-din…”
 
Bandingkan sahaja tahaluf siyasi yang dijalinkan oleh PAS di bawah pimpinan Almarhum Haji Yusof ini dengan tahaluf siyasi yang dijalinkan oleh AMANAH melalui Pakatan Harapan sekarang untuk melihat sama ada kedua-duanya mempunyai persamaan.
 
Kandungan Perjanjian Kerjasama Pakatan Harapan dan PPBM pada 13 Disember 2016 umpamanya membutirkan bahawa kesemua parti yang menjalinkan tahaluf siyasi ini sekadar bersetuju dan komited untuk “Memperjuangkan Agenda Reformasi dalam kebangunan-semula negara demi rakyat dengan berpaksikan nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk kebenaran, keadilan, kebebasan, integriti, kebajikan dan tatakelola yang baik”.
 
Cubaan Dr Mujahid mengaitkan Almarhum Haji Yusof dengan perjuangan AMANAH dengan menyebutkan betapa AMANAH adalah penerusan kepada legasi Almarhum Haji Yusof sangat jauh tersasar.

Apa yang sebenarnya berlaku sekarang ialah PAS adalah penerus legasi Almarhum Haji Yusof manakala Dr Mujahid dan AMANAH adalah penyelewengnya. HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: