Isnin, 29 Mei 2017

Apakah k'jaan 'bayar' Geely beli Proton, tanya DAP

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen DAP, Tony Pua hari ini mempersoalkan sama ada kerajaan "membayar" Zhejiang Geely Holding Group menerusi pengambil alihan 49.9 peratus pegangan dalam Proton oleh firma China itu.

Pua memetik Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani yang mengatakan tidak akan ada lagi subsidi untuk Proton selepas pembayaran akhir sebanyak RM1.1 bilion.

Kementerian Kewangan juga bersedia untuk membuat pengagihan akhir RM250 juta daripada pinjaman mudah RM1.5 bilion yang diberikan kepada Proton pada tahun lepas.

"Bagi yang membuat kira-kira yang mudah, secara berkesan, Geely hanya membayar RM170 juta untuk membeli 49 peratus kepentingan dalam syarikat yang kerajaan akan suntik RM1.35 bilion secara tunai," kata Pua dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen bagi Petaling Jaya Utara itu juga menegaskan, tiada sebarang komitmen atau pelaburan tambahan oleh Geely ke dalam Proton untuk memulihkan firma pembuat kereta tempatan itu.

"Oleh itu, walaupun pada hakikatnya Proton telah menjadi syarikat persendirian yang dijual kepada DRB-Hicom pada tahun 2012, ia kelihatan seperti kerajaan selamatkan DRB-Hicom milik Syed Mokhtar Al-Bukhary dengan secara tidak langsung 'membayar' Geely untuk menjadikan urusniaga itu kepada firma China untuk membeli 49 peratus pegangan Proton.

Justeru, Pua menyifatkan tindakan Kementerian Kewangan itu sebagai tidak masuk akal dari aspek kewangan.

Tiada ulasan: