Rabu, 31 Mei 2017

Penolong pengurus syarikat media direman enam hari

ANTARAPOS.COM

Post Pic
PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari terhadap seorang kakitangan agensi media bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang suapan berjumlah RM70,000 kononnya untuk menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).  
Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah berkenaan selepas SPRM membuat permohonan untuk menahan suspek mulai hari ini sehingga 5 Jun.
Perintah tahanan reman berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, lelaki berusia 54 tahun yang merupakan penolong pengurus sebuah syarikat media ditahan SPRM di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama wang tunai RM20,000 pada kira-kira 9.30 malam tadi.
Difahamkan, suspek meminta RM70,000 daripada seorang kenamaan sebagai habuan untuk menyelesaikan kes VIP itu yang ketika ini disiasat SPRM.

Tiada ulasan: