Selasa, 30 Mei 2017

Kes Annuar Musa dirujuk kepada PM bulan depan

Muhammad Azizul Osman
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Putrajaya. foto IQBAL BASRI


PUTRAJAYA – Hasil siasatan kes dakwaan penyalahgunaan kuasa Tan Sri Annuar Musa akan dibentangkan kepada Perdana Menteri bulan depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, Majlis Amanah Rakyat telah mengadakan mesyuarat pada 18 Mei lalu semasa mesyuarat Jawatankuasa Audit Dalaman telah membentangkan hasil siasatan kes tersebut.

“Hasil dapatan daripada jawatankuasa audit, pihak Majlis MARA akan buat laporan kepada saya selaku menteri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Selepas itu saya akan tengok apa tindakan yang akan diambil seterusnya selepas ini,” katanya selepas menghadiri majlis iftar anjuran kementeriannya malam tadi.

Annuar yang digantung tugas sebagai Pengerusi MARA selepas dakwaan itu dalam siasatan baru-baru ini dan sebelum itu Ketua Penerangan UMNO Pusat itu telah dipanggil kementerian bagi melengkapkan siasatan kes kerana sudah berada di peringkat akhir.

Perkara itu disahkan Pengerusi Sementara MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob​ pada April lalu.

Annuar disiasat ekoran penajaan melibatkan pasukan bola sepak Kelantan oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Pelaburan MARA Berhad (PMB).

“Beliau masih digantung dan masih memegang jawatan itu. Apabila Tan Sri Annuar diminta bercuti maka beliau masih lagi Pengerusi MARA, cuma tidak menjalankan tugas,” jelas Ismail lagi.

Annuar digantung pada Januari lalu selepas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuduhnya menggunakan kedudukan sebagai pengerusi Mara untuk memaksa PMB dan UniKL menaja pasukan bola sepak Kelantan sebanyak RM700,000. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: