Selasa, 30 Mei 2017

JAKIM jawab isu arah kiblat guna aplikasi dalam telefon

Manzaidi Mohd Amin
Othman Mustapha


KUALA LUMPUR – Umat Islam dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak lebih berautoriti bagi menentukan arah kiblat yang lebih tepat bukan berpandukan seratus peratus melalui aplikasi dalam telefon bimbit.

Pihak yang boleh dirujuk seperti pejabat mufti negeri, jawatankuasa surau dan masjid, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Berdasarkan ujian yang dijalankan ke atas beberapa aplikasi yang dibangunkan pihak berkenaan,  katanya, pihaknya mendapati ia mempunyai ralat antara tiga hingga 45 darjah.

Kata beliau, keralatan itu bergantung kepada jenis aplikasi yang dimuat turun dan jenis telefon bimbit yang digunakan.

“Selain itu, hasil ujian juga mendapati hasil pesongan arah kiblat ini disebabkan oleh tarikan daya elektromagnet seperti besi, elektrik dan sebagainya.

“Bahkan, keperluan kepada kalibrasi telefon dan panduan penggunaan aplikasi juga penting sebelum aplikasi berkenaan boleh digunakan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Othman menjelaskan, penggunaan aplikasi menerusi telefon bimbit ini hanya boleh dikira sebagai arah anggaran dalam menentukan arah kiblat.

Kata beliau, dalam ajaran Islam, mengadap ke arah kiblat Masjidil Haram dan Kaabah adalah satu tuntutan syariah dalam melaksanakan ibadah tertentu dan wajib dilakukan ketika hendak mengerjakan solat serta menguburkan jenazah orang Islam.

Malah ujar beliau, arah kiblat juga sunnah ketika azan, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, menyembelih binatang dan sebagainya.

“Di Malaysia, terdapat beberapa kaedah utama yang digunakan dalam menentukan arah kiblat antaranya menggunakan teodolit, kompas, kaedah istiwa’ matahari di atas Kaabah (istiwa’ Adzam), kaedah buruj bintang dan kaedah terbenam matahari,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: