MUAR: Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an ditahan kerana
dipercayai menyebarkan berita palsu dalam media sosial kononnya sebuah
jet pejuang milik tentera sebuah negara yang berlegar di ruang udara di
daerah ini menggugurkan sebutir bom di Sungai Muar pada Isnin.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek
ditahan di sekitar daerah ini bagi membantu pihak polis menjalankan
siasatan lengkap berkaitan penyebaran berita tersebut.
"Polis masih meneruskan usaha mengesan penyebar berita berkenaan yang
lain dan menasihatkan mereka yang terlibat supaya tampil untuk diambil
keterangan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Azman, antara individu dan pemilik akaun media sosial lain yang
dicari ialah Mohd Salleh Ismail, Zue Aziz, Balingviral, Jebuk La, Md.
Rafizi Misman, Mohamed Radzie, Rol Ea, Zack Abdul Karim, Zack Mozaff dan
Zura Muar.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Polis daerah ini meminta orang ramai untuk menghentikan penyebaran
maklumat yang tidak tepat berkaitan pesawat pejuang tersebut.
Sejak beberapa hari lalu, satu rakaman suara berserta sebuah kenyataan
ringkas milik seorang individu yang tidak dikenali identitinya menjadi
tular dalam aplikasi WhatsApp apabila mendakwa beberapa jet pejuang
milik Korea Utara berlegar di sekitar Muar dan Pagoh berikutan berniat
untuk menjatuhkan bom di kawasan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan