Selasa, 30 Mei 2017

Pengusaha teksi berang Grab sedia khidmat semasa Sukan SEA

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap pada sidang akhbar mengenai industri perkhidmatan teksi, uber dan grabcar di Wisma Central, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL


KUALA LUMPUR – Pengusaha teksi berang dengan keputusan membenarkan Grab untuk menyediakan perkhidmatan panggilan kereta semasa Sukan SEA Ke-29 yang akan berlangsung pada Ogos nanti.

Pengasas syarikat teksi premium Big Blue Taxi Service, Datuk Shamsubahrin Ismail mempersoalkan langkah memberi kebenaran itu yang diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini selepas Grab menaja penganjuran itu dengan jumlah tajaan bernilai RM6 juta lebih.

“Bagi saya, langkah ini seolah-olah memberikan satu syarikat dilantik untuk memberikan khidmat secara haram pada Sukan SEA.

“Masa bila pula Grab ini sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa?” kata Shamsubahrin dalam satu sidang media di pejabatnya Wisma Central, Kuala Lumpur hari ini.

Tegas beliau, tindakan memberi kebenaran kepada Grab itu melanggari undang-undang memandangkan khidmat panggilan kereta itu sebenarnya masih belum mendapat kelulusan dari Parlimen dan belum digazetkan sah penggunaannya.

“Grab ini masih belum mendapat kelulusan di Parlimen, malahan tidak ada lesen yang diberikan kepada mereka untuk menjalankan aktiviti membawa penumpang ini,” katanya lagi.

Shamsubahrin juga berkata tindakan Khairy merestui kelulusan diberikan kepada Grab juga tidak boleh diterima memandangkan ia akan menyebabkan industri teksi dalam negara akan lebih terjejas lebih teruk.

“Tindakan beliau menyebabkan industri teksi akan berkubur lagi teruk dengan menyokong aktiviti haram yang dibuat oleh Grab selama ini,” katanya.

Menurut Shamsubahrin lagi, khidmat yang diberikan oleh Grab sebaliknya meletak risiko yang tinggi kepada pengguna dan pelancong kerana tidak ada pihak yang memantau pemandu ini, sebagai contoh kes yang berlaku minggu lalu apabila seorang wanita mengandung dirompak oleh pemandu Grab.

“Mereka letak pelancong dan pengguna semasa Sukan SEA dalam keadaan berisiko tinggi,” katanya.

Bagi melahirkan rasa tidak puas hati, beliau berkata semua pengusaha teksi akan memboikot aplikasi Grab sewaktu Sukan SEA nanti sebagai tanda bantahan mereka.

“Oleh sedemikian, kami seluruh industri teksi akan boikot dengan tidak memasuki aplikasi Grab sewaktu Sukan SEA nanti,” katanya.

Sekiranya Khairy dan kerajaan masih tidak mendengar tuntutan pengusaha teksi, beliau memberi amaran akan menukar sokongan kepada pembangkang semasa pilihan raya nanti disamping memastikan pengusaha teksi di Rembau menentang Khairy disana.

“Kami pengusaha teksi tidak teragak-agak untuk menukar sokongan kepada pembangkang pada pilihan raya depan sekiranya masalah ini berterusan dan tidak diselesaikan,” katanya lagi.

Grab menjadi penaja emas untuk Sukan SEA dari 19 hingga 30 Ogos ini, dengan anggaran penajaan melebihi RM6 juta yang turut merangkumi wang tunai, barangan dan perkhidmatan di samping sokongan promosi melalui platform digital. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: