Jumaat, 19 Februari 2016

Mahkamah putuskan KDN berhak haramkan baju, risalah Bersih 4



Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah (2 dari kanan) bercakap kepada wartawan di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam Kuala Lumpur, hari ini. Mahkamah memutuskan menteri dalam negeri mempunyai kuasa mengeluarkan arahan mengikut budi bicaranya bagi mengekalkan keamanan negara. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 19 Februari, 2016.Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah (2 dari kanan) bercakap kepada wartawan di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam Kuala Lumpur, hari ini. Mahkamah memutuskan menteri dalam negeri mempunyai kuasa mengeluarkan arahan mengikut budi bicaranya bagi mengekalkan keamanan negara. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal. 
 
 
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan menteri dalam negeri mempunyai kuasa mengharamkan baju T serta risalah berkaitan Bersih 4 di bawah Seksyen 7, Akta Penerbitan dan Percetakan 1984, pada 27 Ogos 2015.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa sewaktu menolak permohonan semakan kehakiman difailkan penganjur Bersih 4, Maria Chin Abdullah.

Yazid selepas meneliti hujah semua pihak memutuskan menteri mempunyai kuasa mengeluarkan arahan itu mengikut budi bicaranya bagi mengekalkan keamanan dalam sebuah negara berbilang kaum.

"Selepas meneliti penghujahan, saya mendapati arahan itu adalah dalam bidang kuasa menteri. "Menteri dalam jawapan balas afidavitnya membuktikan kewajaran beliau menggunakan kuasanya dalam mengeluarkan arahan itu," kata Yazid membacakan penghakimannya.

"Menteri sudah mengambil kira pertimbangan sewajarnya dalam mengeluarkan arahan itu. Saya maklum daripada segi kehakiman yang Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama.

"Justeru, menteri mempunyai tanggungjawab berat mengekalkan dan memelihara keamanan walaupun Perlembagaan Persekutuan memberikan hak berhimpun dan kebebasan bersuara.

"Kepentingan negara perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin. Malah, pertimbangan utama untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan keselamatan terletak di tangan eksekutif," katanya.

Pada September 2015, Maria bersama Masjaliza Hamzah dan Fadiah Nadwa Fikri memfailkan semakan kehakiman mencabar arahan pengharaman tersebut.

Sementara itu, peguam New Sin Yew yang mewakili Bersih 2.0 berkata pihaknya akan merayu keputusan itu kerana ia mempunyai impak besar ke atas rakyat Malaysia 5*, ramai di antara mereka mempunyai baju T dan risalah Bersih 4.

"Sesiapa sahaja yang mempunyai baju atau risalah Bersih 4, berpotensi didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Penerbitan dan Percetakan.

"Demi kepentingan keadilan, kami pastinya akan merayu keputusan ini," katanya.

Maria dalam reaksinya kecewa dengan keputusan hari ini dan menegaskan hak bersuara mereka perlu dihormati.

"Jika anda lihat baju T itu, apa yang dinyatakannya? Ia tidak menyatakan yang kami akan menyebabkan kekacauan atau keganasan. Kami mahukan Malaysia yang lebih baik.

"5 tuntutan kami yang dicetak di atas baju itu adalah demi Malaysia yang lebih baik," katanya


Tiada ulasan: