Jumaat, 19 Februari 2016

Ahli panel penasihat SPRM nafi kontrak tamat minggu depan



Ahli tetap panel penasihat SPRM, Tan Sri Musa Hassan berkata panel itu hanya bertanggungjawab menasihati SPRM menjalankan tugas mereka dengan betul dan selari dengan undang-undang sedia ada. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Februari, 2016.Ahli tetap panel penasihat SPRM, Tan Sri Musa Hassan berkata panel itu hanya bertanggungjawab menasihati SPRM menjalankan tugas mereka dengan betul dan selari dengan undang-undang sedia ada. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Ahli tetap panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Musa Hassan menafikan kontrak mereka bersama penguat kuasa anti rasuah itu akan tamat minggu hadapan.

"Tidak. Tidak ada," kata Musa apabila ditemui The Malaysian Insider di Putrajaya semalam.

Bekas ketua polis negara itu sebaliknya berkata, panel itu hanya bertanggungjawab menasihati SPRM menjalankan tugas mereka dengan betul dan selari dengan undang-undang sedia ada.

"Kita hanya beri nasihat supaya SPRM boleh jalankan tugas mereka dgn betul dan juga menunjukkan kita telus dalam menjalankan tugas kita. Itu sahaja," katanya. 
 
Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membatalkan pertemuannya dengan 2 ahli jawatankuasa panel pemantau SPRM.

Pertemuan itu dijadualkan diadakan bagi menjelaskan keputusan kontroversi dalam siasatan terhadap derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.

Dua ahli daripada 2 jawatankuasa itu – Panel Penilaian Operasi (PPO) dan Panel Khas – sepatutnya bertemu dengan Apandi pada jam 3 semalam di Pejabat Peguam Negara.

Sumber berkata, mereka tidak tahu mengapa pertemuan itu dibatalkan tetapi seorang lagi sumber mempertikaikan aturan waktu memandangkan seorang daripada ahli panel sudah hampir menamatkan penggal masing-masing dalam jawatankuasa itu.

“Peguam negara batal pertemuan. Anda patut tanya pejabatnya mengapa dan sama ada beliau akan jumpa kami pada 24 Februari, iaitu hari terakhir penggal untuk panel itu,” kata sumber.

Musa bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insider, sepanjang menjadi anggota panel tersebut, tiada perkara sukar dihadapi SPRM memandangkan mereka bertindak berlandaskan undang-undang.

"Tiada yang sukar, kita hanya nasihatkan SPRM buat kerja ikut peraturan dan undang-undang, tiada yang sukar," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan beberapa pihak yang mengatakan SPRM seakan "harimau tanpa taring" susulan isu membabitkan dana derma RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Tidak boleh kata begitu, mereka lakukan tugas mengikut undang-undang dan peraturan.

“Kita tidak boleh lebih daripada itu kerana kita ada peraturan, kita ada undang-undang," kata Musa.

Musa turut berkata, fakta berhubung isu tersebut juga tidak boleh didedahkan kepada umum kerana maklumat yang terdapat di dalamnya adalah sulit.

"Benda itu saya tidak boleh bincangkan secara faktanya, fakta itu sulit. Siasatan semua sulit.
“Tidak boleh dedahkan. Itu hanya boleh dedah di mahkamah sahaja. Kalau dalam siasatan saya tidak boleh dedahkan," kata Musa.

Beliau bagaimanapun turut memuji usaha pendidikan kesedaran yang dilaksanakan SPRM, dan mengingatkan pemberi maklumat agar memberikan maklumat yang diperoleh mereka kepada suruhanjaya dan tidak mendedahkannya melalui media.

"Kejayaan saya tengok mereka (SPRM) banyak buat pendidikan, terhadap penguat kuasa-penguat kuasa  agensi lain, pihak swasta, itu bagus kerana menyedarkan orang tentang rasuah.

"Penguatkuasaan ini tadi mereka perlu dapatkan maklumat tertentu.

"Mereka yang ada maklumat datang ke SPRM dan buat laporan, jangan melalui media, susah, kamu kena buat laporan, kalau semua melalui media susah," katanya


Tiada ulasan: