Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran bahawa kedaulatan negara menjadi pertaruhan jika kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
Katanya, pengasas Malaysia berjuang bermati-matian untuk mendapatkan kemerdekaan.
"Kita sepatutnya menjadi tuan berhubung hal ehwal dan masa depan sendiri tetapi sekarang kita akan melepaskan hak dan kebebasan kerana keperluan untuk mematuhi telunjuk TPPA.
"Saya tidak ragu-ragu parlimen sebagi cop mohor akan meluluskan TPPA.
“Itu sendiri adalah bukti bahawa kita sedang membuat persiapan untuk menyerahkan kemerdekaan negara kepada kuasa-kuasa asing dan melepaskan kedaulatan yang diperjuangkan bermati-matian oleh pemimpin-pemimpin kita yang dahulu.
"Sesungguhnya wang (tunai) adalah raja," katanya memberi amaran dalam satu catatan blog yang dimuat naik di Chedet.com hari ini.
Mahathir berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad menyatakan bahawa ia mengambil masa dua tahun untuk meminda 26 undang-undang bagi memenuhi keperluan TPPA.
"Ini adalah satu pengakuan yang jelas bahawa TPP menghadkan kebebasan Malaysia untuk menggubal undang-undang yang dianggap perlu untuk negara.
"Undang-undang ini telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia kerana ia dianggap penting dan baik untuk negara ini.
"Tetapi kini ia perlu dipinda kerana TPPA nampaknya lebih berkuasa daripada ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat dalam menentukan apa undang-undang yang diperlukan negara," katanya meluahkan kekecewaannya.
TPPA akan dibentangkan di Parlimen minggu depan manakala protes mengenainya pula dijadualkan Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment