PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu kelulusan Ketua
Audit Negara berhubung pengumuman pembayaran dividen kepada
pendepositnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil
Khir Baharom.
Beliau berkata TH akan merangka draf pengumuman pembayaran dividen selepas mendapat kelulusan itu.
"Tunggu dulu. Biar AG (Ketua Audit Negara) buat keputusan dulu,"
katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Kelahiran Rasul Membawa
Rahmat Kepada Ummah di Seri Perdana di sini, hari ini.
TH menjadi topik hangat di media sosial kebelakangan ini mengenai
tarikh pembayaran bonus pendeposit dan surat Bank Negara Malaysia (BNM)
berkaitan rizab.
Jamil Khir ketika menyentuh perkara itu berkata TH tidak perlu rizab
yang banyak kerana organisasi berkenaan bukan seperti bank yang
memberikan pinjaman wang.
TH tidak tertakluk di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) namun BNM tetap melihat aliran wang TH dan memberikan teguran, katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee
Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, TH akan
mengumumkan bonus pada awal Februari 2016 setelah melalui proses dalaman
dan auditan interim seperti lazimnya setiap tahun.
No comments:
Post a Comment