shahbudindotcom
Apabila
Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan SPRM berkaitan derma
RM2,600 juta dan dana RM42 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib
Razak kepada agensi itu untuk penjelasan lanjut setelah lebih dua minggu
melakukan penelitian, persoalan yang timbul ialah apa jadi seterusnya?
Apakah
kertas siasatan itu sedang dijadikan "bola" untuk ditendang ke sana dan
ke sini bagi tujuan bermain dengan masa sehingga keputusan paling
munasabah dapat dicapai atau ia akhirnya bakal senasib seperti kertas
siasatan Bank Negara Malaysia atau BNM terhadap 1MDB sebelum ini yang
ditolak begitu saja?
Setelah
berbulan-bulan melakukan penyiasatan mengenai isu paling hangat
berkaitan seorang Perdana Menteri, SPRM akhirnya berjaya menghantar
kertas siasatannya kepada Peguam Negara pada 31 Disember lalu bersama
beberapa syor serta cadangan mereka.
Bagaimanapun semalam Peguam Negara memulangkan semula kertas siasatan itu kepada SPRM kerana inginkan penjelasan lanjut.
"Setelah
meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas-kertas siasatan
tersebut, jabatan ini pada hari ini mengembalikan kertas-kertas siasatan
tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak SPRM mengenai
beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh SPRM, " kata
kenyataan pejabat Peguam Negara.
Dalam
hal ini, jelas bahawa kertas siasatan itu dikembalikan bukan kerana
tidak cukup keterangan, tiada bukti atau ditolak seperti kertas siasatan
BNM, tetapi kerana Peguam Negara inginkan penjelasan lanjut berhubung
beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh SPRM.
Jadi, apakah cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh SPRM itu sehingga Peguam Negara mahukan penjelasan lanjut mengenainya?
Kenapa
Peguam Negara inginkan penjelasan lanjut, adakah kerana mereka tidak
bersetuju dengan cadangan dan tindakan yang disyorkan SPRM itu?
Adakah
ini bermakna Peguam Negara mahu SPRM meminda atau menggugurkan
cadangan dan tindakan yang disyorkannya dalam kertas siasatan itu?
Logiknya,
jika Peguam Negara berpuas hati dan bersetuju dengan cadangan dan
tindakan yang disyorkan oleh SPRM, tidak ada sebab mereka perlu
mengembalikan semula kertas siasatan itu.
Dalam
hal ini, kenapa Peguam Negara tidak terus bersetuju saja dengan
cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh SPRM atau menolaknya terus
jika tiada asas untuk pendakwaan?
Adakah
Peguam Negara tidak terus menolak kertas siasatan SPRM itu kerana bukti
dan keterangan yang ada terlalu sukar untuk diabaikan?
Hal
ini berbeza dengan kertas siasatan BNM terhadap 1MDB beserta
cadangan-cadangan tertentu yang ditolak untuk pendakwaan oleh Peguam
Negara sebelum ini, tetapi kemudian dirayu oleh BNM untuk pertimbangan
semula.
Namun,
oleh kerana rayuan yang dikemukakan BNM tanpa disertakan bukti-bukti
baru, maka Peguam Negara menolaknya sekali lagi. Ia akhirnya tutup kes
begitu saja.
Persoalannya
kini ialah apakah SPRM kekal dengan cadangan dan tindakan yang
disyorkan sebelum ini atau akan mengembalikan kertas siasatan itu
berserta cadangan dan tindakan yang baru kepada Peguam Negara?
Walaupun
SPRM menafikan laporan Sarawak Report bahawa terdapat 37 cadangan
pendakwaan dalam kertas siasatan yang dikemukakannya kepada Peguam
Negara, berapa sebenarnya jumlah syor yang dikemukakannya?
Adakah
SPRM kekal dengan kenyataannya sebelum ini bahawa wang RM2,600 juta itu
merupakan derma atau ia sudah berubah berikutan adanya
maklumat-maklumat baru yang diperolehi?
No comments:
Post a Comment