SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini mengumumkan hasil
program penyelidikan dan pembangunannya (R&D) bernilai RM600 juta
iaitu enjin pancitan terus bahan api pengecas turbo (TGDI) yang menepati
standard global.
Ini hasil kerjasama 3 pihak iaitu pengeluar kereta nasional itu dengan Ricardo Plc dan Lotus Group.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, secara simbolik melancarkan
ujian pertama enjin itu menerusi lintas langsung bersama pasukan
jurutera Proton di lokasi Ricardo di Shoreham-by-the-Sea, England.
Program pembangunan itu diketuai Pengurus Projek Proton yang juga Ketua Pegawai Teknikal, Abdul Rashid Musa.
Bercakap dari kilang Ricardo, Rashid berkata program itu mengambil masa
40 bulan bagi menyiapkan 6 varian enjin dengan varian pertamanya
dijangka dapat dilancarkan dalam masa 30 bulan atau menjelang akhir
2017.
Pada sidang media di Shah Alam, Dr Mahathir menjelaskan, pemilihan Ricardo adalah berdasarkan keupayaan syarikat berkenaan.
"Kami berharap enjin ini akan mencatat prestasi baik dan memenuhi
standard Euro bagi membolehkan kenderaan Proton dijual semula di United
Kingdom (UK).
"Proton sudah lama tidak dapat memasuki pasaran UK atas alasan enjin
sedia ada tidak memenuhi standard yang ditetapkan UK serta Eropah,"
katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith
Abdullah, berkata enjin baharu itu akan membolehkan syarikat itu
menembusi pasaran eksport.
"Ini berikutan ciri-cirinya yang menepati peraturan di pasaran utama
termasuk angka pelepasan Euro 6c dan karbon dioksida (CO2) yang rendah
pasca 2020.
"Barisan jurutera Proton terlibat dalam program itu sejak Mac, 2015
sehingga sekarang dengan memberikan input yang tepat dan membuat
keputusan berdasarkan ketetapan syarikat ini.
"Mereka turut terbabit secara aktif dalam aspek reka bentuk serta
analisis enjin serta pengeluaran enjin prototaip berkenaan," katanya.
Harith berkata, seramai 200 jurutera menyertai projek pembangunan 6
varian enjin dalam lingkungan keupayaan kapasiti (cc) 1,000 sehingga
1,500 dengan jangka masa keseluruhan melebihi 3 tahun.
"Pembangunan enjin TGDI dan GDI (pancitan bahan api secara terus) itu
adalah lebih cekap dengan penghasilan purata 25% penggunaan bahan api
lebih rendah dan prestasi lebih tinggi sehingga 20%.
"Enjin ini akan digunakan dalam semua kereta Proton mulai tahun 2018," katanya.
Mengulas prestasi kewangan Proton, Harith berkata syarikat itu
sepatutnya berada di landasan tepat (untuk meraih keuntungan) bagi tahun
kewangan 2016 dan 2017, didorong oleh pelancaran model kereta baharu
serta pelan transformasinya yang diperkenalkan sejak 2012.
Bagi isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), beliau berkata, Proton masih dalam proses perbincangan dengan kerajaan.
"Ada beberapa perkara yang perlu kami perjelaskan kerana objektif
syarikat ini adalah untuk melindungi perniagaan serta pekerja kami,"
katanya. – Bernama,
No comments:
Post a Comment