Saturday, January 23, 2016

Perarakan Thaipusam meriah, aman, dan diawasi ketat

 
Penganut dari segenap pelusuk Lembah Klang berhimpun dan berarak merentasi ibu negara bagi menandakan ketaatan.


batu-caves


BATU CAVES: Perarakan kereta berhala Dewa Murugan sempena sambutan Thaipusam bermula lancar dan aman tanpa sebarang gangguan.

Orang ramai mula berkumpul di sekitar Kuil Maha Mariamman Dhevastanam di Jalan Tun H.S.Lee sekitar jam 8 malam dan kereta berhala mula bergerak tepat jam 10 malam menuju ke kuil Sri Subramaniar Dhevastanam di Batu Caves, Gombak.

Pengawasan pihak berkuasa yang ketat berbanding kebiasaan tidak mengganggu kemeriahan malam tadi. Bunga api pelbagai warna dilepaskan ke udara berlatarkan langit malam yang cerah.

Bulan penuh menaungi perarakan penganut yang mengiringi Dewa Murugan sejauh 18 kilometer sambil menjalani ibadah termasuk menjunjung kavadi dan periuk kecil berisi susu yang akan digunakan sebagai membayar nazar kepada Dewa Murugan sempena Thaipusam, yang jatuh pada Ahad ini.

Melalui Jalan Raja Laut dari Lebuh Ampang, peserta meraikan malam kebesaran itu dengan memecah kelapa, tarian singa dan tarian tradisional India. Polis peronda sama ada berjalan kaki atau berkereta memastikan penganut menjalani ibadah bebas daripada ancaman.

Di kiri kanan jalanraya sehingga ke Jalan Kuching ditandai dengan gerai makanan dan minuman percuma bagi memastikan keperluan peserta Thaipusam dipenuhi.

Pemberita tiba di Batu Caves sekitar 4.30 pagi. Ketibaan penganut dan pengunjung ke kawasan suci agama Hindu itu disambut sepasukan askar beret merah yang distesen di beberapa lokasi dalam perkarangan kuil.

L. Kanakahampa, 50an, berasa terkejut melihat bilangan pegawai pertahanan yang lengkap bersenjata.

“Sepanjang lebih 20 tahun menyertai perarakan dan mengunjungi Batu Caves, ini kali pertama saya melihat askar lengkap bersenjata mengawasi kuil ini,” katanya.

Di kaki patung gergasi Dewa Murugan berhampiran tangga utama kuil Batu Caves, orang ramai terdorong untuk bergambar dengan periuk gergasi yang dililit tulisan ‘derma’.

Entah berapa bilion ringgit boleh muat dalam periuk itu, seloroh seorang pengunjung wanita kepada suaminya.

Meriah seperti biasa, semua aktiviti dalam kawasan perkarangan kuil seperti bazar jualan, upacara sembahyang dan kunjungan pelancong asing tidak terganggu (setakat berita ditulis jam 6 pagi).

“Penganut yang hadir tidak mengendahkan khabar angin mengenai serangan IS.

“Bagaimanapun, dari segi jumlah pengunjung dan jumlah polis serta pihak berkuasa yang lain, saya merasakan khabar angin itu memberi impak,” kata Vickneawary Selvarajah dari Shah Alam.

No comments: