Thursday, January 28, 2016

Pensyarah ditahan SPRM susulan tuntutan RM14 juta

ditahan gari
Gambar hiasan


SHAH ALAM - Seorang pensyarah wanita berusia lingkungan 40-an ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan tuntutan peruntukan penganjuran program membabitkan nilai kira-kira RM14 juta.

Memetik laporan BH Online, wanita itu yang juga pensyarah kanan di sebuah universiti awam di utara, ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Kedah kira-kira jam 11 pagi semalam untuk membantu siasatan berhubung dakwaan itu.

Berdasarkan maklumat, suspek membuat tuntutan RM14 juta untuk kira-kira 300 program dianjurkan Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) melalui CUIC, di bawah Kementerian Pelajaran (ketika itu Kementerian Pengajian Tinggi) antara 2012 dan 2015.

Bagaimanapun timbul keraguan dalam isu terbabit dan SPRM sehingga kini masih menyiasat tuntutan membabitkan nilai peruntukan kira-kira RM14 juta dibuat melalui lebih 10 syarikat.

Sehingga kini siasatan dilakukan SPRM hanya mengenal pasti RM500,000 daripada keseluruhan RM14 juta tuntutan dibuat, manakala selebihnya masih dalam siasatan. Justeru, suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, mengesahkan tangkapan dan siasatan dilakukan, namun tidak mengulas lanjut.

Sementara itu, pensyarah wanita terbabit dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, pagi ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

No comments: