Bagaimana perhimpunan menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan berlangsung Sabtu ini jika pesertanya tidak boleh duduk bersama, seperti PERKASA dan DAP?
Begitu juga antara penyokong PAS dan serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH).
Bagaimanapun, bagi penganjurnya, perkara itu tiada masalah kerana ada isu lebih besar harus diperjuangkan bersama berbanding perbezaan sedia ada.
“Suami isteri pun ada juga gaduh, takkan anak sakit tapi masing-masing bergaduh dan tak nak uruskan. Kalau anak sakit pakat-pakat jagalah.
“Tidak ada apalah itu, nanti pandai-pandailah mereka cari tempat sendiri yang mereka selesa. Sekarang isunya TPPA mengancam kedaulatan negara dan mengancam masa depan negara.
“Jadi siapa sahaja kita jemput untuk hadir. Kalau Umno pun kita jemput bersama. Tak kira siapa sahaja,” kata Pengarah himpunan Bantah TPPA Kamaruzaman Mohamad kepada Malaysiakini.
Semalam Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata pihaknya akan menyertai perhimpunan tersebut bagaimanapun akan berjauhan dari DAP kerana tidak mahu dilihat bersama pembangkang.
Selain itu, perhimpunan Bantah TPPA itu menyaksikan parti-parti pembangkang akan menghadiri perhimpunan membantah TPPA dalam keadaan hubungan parti kurang baik.
Mengulas lanjut Kamaruzaman berkata orang awam tidak perlu bimbang kerana pihaknya telah menyediakan seramai 1,500 anggota Unit Amal PAS untuk mengawal keadaan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjur himpunan untuk menggunakan Dataran Merdeka.
Mereka bagaimanapun mereka akan tetap berkumpul di situ dan membuat rayuan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menggunakan dataran bersejarah berkenaan.
“Kita akan teruskan di Dataran dan proses rayuan masih berjalan,” katanya.
No comments:
Post a Comment