Saturday, January 23, 2016

Pas Kelantan masih mampu bertahan



DETIK DAILY



SENARIO politik dalam PRU14 dilihat sukar diramal. Apatah lagi, kelahiran parti serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka menggugat pengaruh dan kukuhnya Pas Kelantan mengekalkan pemerintahan lebih 20 tahun di negeri ini.

Ramai pemerhati politik melihat, kerusi-kerusi yang dimenangi Pas pada PRU lalun dengan majoriti tipis bakal menjadi penentu kelangsungan pengaruh Pas Kelantan.


Senario semasa yang menyaksikan rakan tahaluf siyasi Pas, PKR dilihat cuba bermain api apabila sepentas dengan pemimpin parti Amanah dalam beberapa siri program parti itu hingga gus mengundang kekecewaan Pas Negeri. Ikuti wawancara Sinar Harian bersama Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mengupas dan memberi reaksi berhubung konflik terkini itu.  

PKR bikin Pas 'panas' bila sepentas dengan Amanah.  Apa reaksi Datuk?

Apa tujuan sebenar PKR hingga menyebabkan hubungan bersama Pas dilihat sedikit tegang? Adakah Pas Kelantan masih perlukan PKR?

Bagi saya, perlu atau tidak ia tidak berbangkit. Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sebelum ini pernah buat perumpamaan kalau galah kita untuk ‘kait’ satu-satu benda, kalau tidak cukup satu kaki pun, tidak sampai juga kepada buah itu, jadi kita perlu juga satu kaki itu dalam apa suasana sekalipun.  Kita perlu kepada kerjasama PKR dan sebagainya untuk kekal kemenangan di Kelantan.

Sebenarnya, isu timbul ekoran surat saya yang diviralkan baru-baru  ini. Kandungan surat itu menyatakan rasa dukacita Perhubungan Pas Kelantan terhadap penyertaan pimpinan PKR Pusat yang menyertai program Amanah di Kelantan. Jadi itu yang jadi kecoh sedikit. Sebenarnya, dalam konteks negeri Kelantan kita memang tidak ada masalah.

Saya mendapat kerjasama yang cukup baik daripada pimpinan PKR Kelantan, bahkan dalam program di Gua Musang baru baru ini, saya sentiasa diiringi pimpinan PKR, penyelia Dun Neggiri dan penyelia Dun Paloh, dua-dua ini mewakili PKR bersama dengan saya dalam program itu.

Cuma bila kita lahirkan rasa dukacita itu, pimpinan PKR Pusat memahami bahawa dalam usaha kita untuk kita mengekalkan hubungan harmoni antara PKR di Kelantan ini, kita juga berhadapan dengan tekanan akar umbi Pas yang melihat apabila pimpinan PKR ini bersama di atas pentas Amanah, sudah jelas kepada mereka yang Amanah ini hadir di Kelantan ini adalah untuk menjatuhkan kerajaan Islam. tiba-tiba pimpinan PKR pun ada di atas pentas yang sama.

Jadi ini yang melahirkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan akar umbi dan kita sebagai parti politik ini mestilah sensitif reaksi akar umbi.

Dalam masa yang sama kita langsung tidak ada masalah dengan kepimpinan PKR di Kelantan. Saya juga ucapkan terima kasih kepada pimpinan PKR di Kelantan yang sentiasa memahami dan memberi kerjasama yang sebaiknya kepada pimpinan Pas di Kelantan.

Merujuk kepada surat viral tersebut, adakah ia satu amaran kepada PKR?

Amaran pun tidak, teguran pun tidak, cuma kita melahirkan rasa dukacita kita, kiranya benda itu dibiarkan berterusan, akhirnya boleh merencatkan.

 Adakah Amanah boleh menggugat kerajaan Pas Kelantan?

Saya tidak banyak melihat kepada ucapan ataupun kenyataan mereka tetapi saya melihat kepada apa yang berlaku di bawah, kerja-kerja yang dibuat oleh Amanah di bawah bertujuan menjatuhkan kerajaan Kelantan.

Tiada sebab munasabah untuk mereka menang, jadi kerja mereka di bawah ini tidak lain dan tidak bukan untuk menyempurnakan rasa dendam dan mengalahkan Pas. Jadi kerja-kerja itu memang dibuat ke arah itu.

Pas Kelantan anggap Amanah musuh utama?

Sebenarnya tak perlu sebut musuh, maknanya kalau mereka berusaha untuk menjatuhkan kerajaan Islam Kelantan, sedangkan kita ini berusaha untuk mempertahankan kerajaan Islam Kelantan., maka dengan sendirinya kita berlawanlah.

Difahamkan Yang Dipertua Pas Kawasan Kubang Kerian, Datuk Husam Musa menghantar surat kepada Pas Pusat dan kesal kerana ceramah yang dihadiri pemimpin tertinggi Pas Kelantan termasuk Menteri Besar dibuat di kawasannya tanpa dimaklum kepada kawasan.

Saya sendiri mendapat jemputan mulut. Jadi bila saya dapat tahu ada jemputan mulut, soalan pertamanya yang saya tanya ialah adakah dimaklumkan kepada kawasan, lalu saya pun menasihatkan, walaupun dia sebut memang ada.

Lalu saya menasihatkan supaya pastikan pimpinan semua dijemput sebagai mengharmonikan dan semalam pun bila saya dapatkan pengesahan sekali lagi iaitu jemputan memang ada dibuat kepada Yang Dipertua dan pimpinan kawasan.

Program itu merupakan program cawangan yang mengadakan program Maulud Rasul, jadi saya tidak pelik untuk mereka jemput Menteri Besar dan sebagainya. Tapi kawasan (Kubang Kerian) hantar surat itu baguslah, sekurang-kurangnya kita sensitif, saya di Wakaf Bharu pun banyak pimpinan yang masih mengaku bersama dengan Pas, pergi buat program di atas pasar dan sebagainya. Saya tidak dimaklumkan tetapi  tidak hantar surat.

Menyentuh persiapan PRU14, adakah perundingan baharu berhubung agihan kerusi ditandingi PKR Kelantan?

Masih terlalu awal untuk Pas Kelantan bincang kerusi. Cuma oleh kerana kawasan-kawasan yang ditandingi oleh PKR, kita sudah pun lantik penyelia Dun atau penyelia parlimen daripada PKR dan apabila kita lantik penyelia-penyelia tersebut, kita mengiktiraf mereka itu seperti juga penyelia Dun dan Parlimen Pas.

Baik dari segi peruntukan, kita salurkan melalui penyelia Dun dan penyelia parlimen PKR dan kita harapkan sebarang kelemahan dapat mereka baikilah, kita tidak ganggu dari segi untuk rampas kerusi dan sebagainya. Kita memang setia berkawan.

Maknanya, selagi mana kepimpinan Pas ini bersama dalam Pakatan Rakyat, maka kita menghormati pembahagian yang dibuat, cuma dalam masa yang sama, pada musim perbincangan, memang ada perbincangan-perbincangan yang tidak lain tidak bukan untuk saling menguatkan pakatan untuk pertahankan kerajaan Islam Kelantan.

Cabaran Pas Kelantan mempertahankan negeri pada PRU14 cukup kuat datang daripada Amanah dan Umno. Apa komen Datuk?

Kelantan ini sebagaimana yang kita sedia maklumlah, kita lebih kurang dari segi kekuatan ahlinya, Umno dalam 30 peratus, Pas 30 peratus dan kemudian yang boleh mengundi Umno atau Pas semasa PRU adalah 40 peratus.

40  peratus inilah yang selalunya memberi kemenangan kepada Pas, jadi dalam suasana hari ini, di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Yakob, yang mana pegawai-pegawai pun sudah mula melihat dari segi ketegasan dari segi terlepas diri daripada kepentingan-kepentingan, pegawai sudah lihat keikhlasan dan kejujuran Menteri Besar dalam melaksanakan kerja dan rakyat boleh tengok, jadi kita tidak nampak secara perbandingan, maknanya pimpinan Pas masih dilihat lebih relevan dengan rakyat Kelantan, saya yakin 40 peratus itu memihak kepada Pas.

Sekarang ini, bila orang Melayu yang cerdik pandai dan tidak banyak terlibat dengan politik, macam profesor dan saintis, mereka tidak terlibat dengan politik. Sebelum ini, dia rasa Pas ini bersama dengan DAP, mereka ini sudah lama tidak suka kepada Umno, nak harap kepada Pas pun tidak boleh,  Pas dilihat macam takut Dap, sekarang ini mereka mula merasakan yang Pas sudah mula menunjukkan kesungguhan, keberanian dan  kegagahan selain menunjukkan ketegasan dalam dasar perjuangan dan juga prinsip apabila Pas mengambil risiko yang disebut oleh pimpinan Amanah itu, maknanya Pas berjaya mengambil risiko politik kerana nak pertahankan dasar dan polisi.

Jadi ini yang akan memberikan sokongan yang begitu besar dalam kalangan orang Melayu. Cendekiawan-cendekiawan Melayu yang tidak terlibat dengan politik, kalau orang politik ini, dia hanya baca politik sahaja, Pas pergi mana pun, kita nak menang Putrajaya .

Tapi orang bukan politik ini dia tidak baca semua itu, dia cuma mahu tengok Pas boleh  bela orang Melayu dan hari ini mereka lihat Pas boleh diharap.


No comments: