SHAH ALAM: Perebutan kerusi di Selangor mungkin menyaksikan Parti
Amanah Negara (PAN) bakal 'dipermainkan' rakan sekutunya, DAP.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr Azmi Hassan
berkata, DAP tidak akan begitu mudah menyerahkan kerusi milik mereka
kepada rakan pakatan seperti PAN kerana menganggap parti mereka kuat dan
mampu bersendirian.
"Diramalkam jumlah kerusi yang bakal ditandingi DAP pada PRU14 ini akan
bertambah berbanding PRU13 kerana ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan.
Secara logiknya kekosongan PAS sepatutnya diisi Amanah tetapi DAP ketika
ini begitu dominan dalam pakatan.
"Saya jangka DAP akan menang besar dari segi pembahagian kerusi
berikutan ketiadaan PAS manakala PKR pula hanya peroleh kerusi tambahan
dalam bilangan sedikit sahaja. PAN pula akan rasa tertipu dan
dipermainkan kerana mereka sepatutnya miliki kerusi PAS tetapi tidak
akan dibenarkan DAP," katanya yang dipetik Sinar Harian.
Azmi berkata, secara logiknya PAN menyimpan harapan untuk bertanding 100 peratus di kerusi PAS.
"Mungkin PAN beranggapan semua kerusi PAS milik mereka, namun pada
hakikatnya DAP dan PKR akan memperoleh sebahagian besar komposisi kerusi
berkenaan Makala PAN cuma mendapat baki lebihan itu sahaja," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr
Sivamurugan Pandian berkata, situasi seperti ini jelas menguji
keikhlasan DAP.
"Susulan kemelut ini, Amanah boleh menilai reaksi DAP sama ada
bersetuju atau tidak menyerahkan sedikit kerusi mereka kepada sekutu
baru seperti PAN.
"Malah PAN juga harus berhati-hati untuk pastikan mereka tidak disabotaj jika dapat kerusi kelak," katanya.
Beliau mengandaikan, DAP akan meredakan isu panas ini dengan meyakinkan PAN untuk bertanding di kerusi PAS.
"Kerana DAP pasti mahu kekalkan majoriti mereka untuk tidak timbulkan undi protes dalam kalangan ahli.
"Bagaimanapun DAP perlu sedar dan buka mata bahawa mereka masih
perlukan sekutu Melayu Islam untuk dapatkan sokongan pengundi Melayu,"
katanya.
Sivamurugan berkata, buat masa ini tidak nampak persaingan dengan
formula satu lawan satu malah berkemungkinan berlaku pertembungan tiga
penjuru di kawasan bukan PKR atau DAP.
Untuk rekod, sebelum ini, Setiausaha AMK, Chang Li Kang menyarankan DAP
menyerahkan separuh daripada kerusi majoriti Cina yang diwakilinya kini
kepada PAN hal ini bertujuan mengikis label 'anti Melayu' terhadap
parti itu.
Bagaimanapun, DAP menyifatkan cadangan itu sebagai pendapat peribadi
semata-mata bahkan perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat
kepimpinan DAP Selangor.
No comments:
Post a Comment