Thursday, January 21, 2016

MP gesa k'jaan jangan usik peruntukan pendidikan

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan digesa supaya tidak mengusik peruntukan kritikal seperti tajaan pendidikan dalam usaha penjimatannya.

"Jika pengurangan perbelanjaan diperlukan sekalipun, biarlah dipotong program-program yang tidak membuahkan hasil daripada mengorbankan masa depan modal insan negara," kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari,

Sebaliknya, kerajaan sepatutnya menangani segala ketirisan, rasuah dan salah tadbir terlebih dahulu, kata Zairil yang juga Jurucakap Parlimen DAP untuk pendidikan, sains dan teknologi.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, sepatutnya peruntukan biasiswa JPA ditingkatkan lagi dan bukannya digantung.

"Sudahlah peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi mengalami pemotongan sebanyak RM2.4 bilion untuk tahun 2016, kini beratus-ratus pelajar cemerlang akan hilang peluang mereka untuk belajar di universiti terpilih," katanya.

Zairil menggesa demikian ketika mengulas laporan bahawa tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar universiti di peringkat sarjana muda dan bursari untuk pelajar program pra-universiti bagi tahun 2016 akan digantung di tengah-tengah kejatuhan pendapatan negara.

"Hakikatnya jumlah wang yang diperuntukkan bagi biasiswa JPA dalam Belanjawan 2016 adalah tidak banyak – hanya RM1.65 bilion. Itu pun setelah dikurangkan daripada RM1.93 bilion bagi tahun 2015," tambahnya.

Zairil berkata antara langkah yang disyorkan adalah pemotongan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang didakwanya kian melampau serta pemansuhan program yang tidak diperlukan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas, Biro Tatanegara, TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara.

"Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20.3 bilion untuk JPM, masakan dana tidak boleh disalurkan daripada JPM bagi membiayai biasiswa JPA?" soal Zairil.

"Tambahan pula, bilangan menteri yang berjumlah hampir 70 orang juga harus dikurangkan dan dirasionalisasikan," tegasnya.

Pada masa yang sama, kata Zairil, berbilion ringgit lagi wang kerajaan dapat dijimat melalui pelaksanaan dasar tender terbuka bagi semua perbekalan dan pemerolehan kerajaan, serta membasmi penyelewengan dan rasuah.

No comments: