Berikutan kemelut dalaman Umno Kedah, sebuah portal pro parti itu membuat spekulasi bahawa negeri jelapang padi itu akan mendapat menteri besar baru selewat-lewatnya Rabu ini.
Menurut portal Mykmu.net,
Kedah akan mendapat menteri besar ke-12 apabila 20 daripada 21 ADUN BN
bersetuju untuk menerima sesiapa sahaja bagi menggantikan Datuk Seri
Mukhriz Mahathir.
"Menurut sumber, kesemua mereka telah menyatakan taat
setia kepada presiden Umno dan menerima sesiapa sahaja yang bakal
dilantik sebagai menteri besar Kedah yang baru.
"Kesemua mereka bersedia menghadap Duli Yang Mulia Tuanku
Sultan Kedah sekiranya dipanggil untuk menyatakan sokongan kepada
keputusan Umno dan BN," kata portal itu.
Selain itu, Mykmu berkata, menurut sumber,
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah
bercakap dengan hampir 90 peratus ADUN BN Kedah.
"Apa yang menjadi pertimbangan ketika ini ialah sama ada
mengekalkan keputusan melantik Timbalan Pengerusi BN dan Umno Kedah,
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah atau melantik calon lain yang kurang
kontroversi dan bagi meredakan keadaan," kata portal itu lagi.
Minggu lalu, Ahmad Bashah bersama 14 pemimpin Umno Kedah telah menyatakan 'hilang keyakinan' dengan kepimpinan Mukhriz.
Ahmad Bashah juga menyenaraikan empat sebab yang
dikatakan sebagai punca kehilangan keyakinan Umno Kedah terhadap
Mukhriz, iaitu kegagalan Mukhriz untuk menyatukan parti, kekurangan
perancangan strategik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,
kegagalannya memimpin dan menggerakkan jentera parti serta
ketidak-upayaannya menguruskan pentadbiran negeri dengan berkesan.
Beliau turut menggesa Najib untuk campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.
Malah pihaknya pada Jumaat lalu juga telah berjumpa Najib di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Namun pertemuan yang diadakan selama kira-kira sejam itu menimbulkan teka-teka tentang keputusan perjumpaan tersebut.
Ekoran itu, terdapat laporan yang membuat spekulasi bahawa
Mukhriz akan ditawarkan jawatan sebagai timbalan menteri antarabangsa
dan industri perdagangan dan Ahmad Bashah bakal dilantik sebagai menteri
besar Kedah.
No comments:
Post a Comment