KYRA ALEGRIA
Bekas Naib Ketua Umno
Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan
polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali kerana dipercayai
terdapat unsur-unsur salahguna kuasa. - Foto TRP
KUALA LUMPUR, Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk
Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini membuat laporan polis terhadap
Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali kerana dikhuatiri terdapat unsur-unsur
salahguna kuasa.
Khairuddin berkata Peguam Negara harus
memberi penerangan secara komprehensif kepada rakyat khususnya di dalam
menzahirkan semua asas butiran siasatan yang telah dijalankan oleh pihak
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya memohon pihak Polis Diraja Malaysia
untuk membuat satu penyiasatan ke atas peguam negara samada terdapat
sebarang unsur-unsur salahguna kuasa, cuai jenayah, memutarbelit fakta
dan mengganggu penjawat awam daripada menjalankan tugas-tugas mahupun
siasatan mereka secara telus, bebas serta komprehensif.
“Tan Sri Apandi Ali selaku Peguam Negara
tidak boleh membuat kenyataan secara umum tanpa menghuraikan secara
terperinci mengenai hasil siasatan laporan SPRM yang telah dihantar ke
pejabat peguam negara,” katanya yang memuat naik salinan laporan polis
di Facebooknya hari ini.
Khairuddin
berkata demikian mengulas mengenai kenyataan yang dibuat Peguam Negara
semalam berhubung isu SRC International dan isu dana RM2.6 bilion yang
dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Khairuddin, jawapan yang
komprehensif daripada Apandi amat penting demi untuk menjaminkan
keutuhan imej serta kredibiliti Jabatan Peguam Negara pada pandangan
rakyat secara menyeluruh.
Ini kerana, katanya, rakyat sedang menghadapi krisis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan masakini.
“Dalam masa yang sama, saya secara jujur
serta ikhlas ingin menasihati Peguam Negara agar tidak mengambil ringan
di dalam pengumuman isu kes siasatan wang derma RM2.6 bilion dan
sejumlah wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib
Razak.
“Samada suka atau tidak kita harus
tangani dan selesaikan kemelut ini secara professional dan meyakinkan
semua pihak di tanahair yang tercinta ini,” katanya.
Bercakap di Putrajaya semalam, Mohamed
Apandi berkata, siasatan mendapati, jumlah yang didepositkan adalah
RM2.08 bilion dan ia adalah sumbangan peribadi kerabat diraja Arab Saudi
pada 2013.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.03 bilion telah dikembalikan semula kepada penyumbang pada tahun sama.
“Tiada apa-apa kesalahan jenayah,” katanya dalam sidang media semalam.
1 comment:
Post a Comment